Berita

Siasatan kes Zayn: Polis jumpa objek jadi petunjuk baharu

Analisa dan siasatan lanjut perlu dilakukan terlebih dahulu terhadap bukti-bukti baharu yang diperoleh tersebut.

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan beberapa barangan dan objek yang boleh dijadikan petunjuk baharu kepada kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penemuan itu diperoleh semasa pemeriksaan dari rumah ke rumah buat kali kedua dilakukan pihak polis di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat sini pada malam Selasa.

Beliau bagaimanapun berkata, analisa dan siasatan lanjut perlu dilakukan terlebih dahulu terhadap bukti-bukti baharu yang diperoleh tersebut.

“Setakat ini tiada perkembangan positif dalam usaha menjejak pembunuh arwah Zayn Rayyan.

“Kita perlu melakukan analisa terlebih dahulu berhubung semua penemuan-penemuan ini dan masih berusaha mengumpul bukti secukupnya,” katanya pada Rabu.

Sementara itu ditanya sama ada terdapat arahan khusus dikeluarkan pihak polis terhadap penduduk untuk kekal di blok mereka ketika pemeriksaan dijalankan, Hussein berkata, penduduk dibenarkan melakukan rutin harian seperti biasa.

Namun begitu kata beliau, sekiranya polis melakukan pemeriksaan dan penghuni tiada di rumah atau berada di luar kawasan, mereka akan dipanggil bagi melakukan mass DNA screening atau ujian DNA beramai-ramai.

Terdahulu pada malam Selasa, hasil pemeriksaan pasukan forensik PDRM selama kira-kira dua jam di setiap rumah di Blok R apartmen berkenaan, anggota dilihat membawa keluar dua buah kotak berisi bahan bukti.

Kotak berkenaan dipercayai mengandungi bahan bukti bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak malang tersebut.

Lebih 25 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan pemeriksaan itu bermula pukul 8.40 malam dan berakhir kira-kira 10.30 malam Selasa.

Pemeriksaan didapati tertumpu di tingkat dua dan tiga blok berkenaan.

Usaha media untuk mendapatkan gambaran lebih lanjut proses itu terhalang selepas tidak dibenarkan mendekati kawasan mahupun berkumpul di hadapan blok kediaman arwah Zayn. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button