Siasatan SPRM terhadap Radzi Jidin bermula Ogos
Siasatan itu melibatkan projek percetakan buku bernilai RM80 juta.

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Siasatan SPRM ke atas projek percetakan buku bernilai RM80 juta yang dikaitkan dengan bekas menteri pendidikan, Radzi Jidin telah bermula kira-kira sebulan lalu, iaitu pada Ogos.
Sambil menafikan, siasatan SPRM itu adalah atas arahan mana-mana pihak, ketua pesuruhjayanya, Azam Baki menolak kes berkenaan mempunyai kaitan dengan pertelingkahan antara ahli Parlimen Putrajaya itu dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 19 September lalu.
“Kita telah mulakan siasatan membabitkan kes ini kira-kira sebulan sebelum ini.
“Laporan yang dibuat oleh sekumpulan individu baru-baru ini hanya maklumat tambahan yang boleh diambil kira SPRM,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia, hari ini.
Azam merujuk tindakan Umno Wilayah Persekutuan yang membuat laporan kepada SPRM mengenai projek percetakan buku itu pada Khamis minggu lalu
Isnin lalu, Timbalan Ketua Biro Undang-Undang Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif yang menuduh perdana menteri menyalah guna agensi penguatkuasaan untuk “mengganggu” musuh politiknya.
Mengulas dakwaan itu, Azam berkata, SPRM adalah berkecuali dan akan terus melakukan siasatan tanpa tekanan daripada sebarang pihak.
Ditanya bila Radzi akan dipanggil bagi membantu siasatan, ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata, ia terpulang kepada pasukan penyiasat.
“Bila akan panggil belum tahu lagi kerana saya serahkan kepada pegawai penyiasat dan terpulang kepada mereka tentukan bila akan dipanggil jika ada keperluan,” katanya.
Setakat ini, lima saksi telah diambil keterangan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung projek percetakan buku itu.
Kesemua keterangan saksi itu diambil selepas dua individu termasuk seorang setiausaha politik kepada seorang bekas menteri ditahan pada Ahad lalu.
Radzi dalam satu kenyataan pada 25 September lalu, mengakui bekas setiausaha politiknya ditahan SPRM berhubung dakwaan rasuah melibatkan RM80 juta berkaitan pencetakan buku J-Qaf untuk prasekolah.
Dia bagaimanapun menafikan terbabit dalam projek rundingan terus percetakan buku bernilai RM80 juta semasa memegang jawatan selaku menteri. — Xklusif