Berita

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, platform utama perpaduan dan pembangunan serantau

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur tahun ini menandakan satu detik penting dalam sejarah rantau Asia Tenggara, khususnya buat Malaysia yang memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025. Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi tumpuan utama dengan penekanan kepada keterangkuman, kemampanan dan kestabilan serantau sebagai teras sidang kali ini.

Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, sidang kemuncak ini bukan sekadar acara diplomatik, tetapi menjadi platform utama bagi pemimpin ASEAN menilai kemajuan dalam tiga tunjang utama: politik-keselamatan, ekonomi, dan sosiobudaya. Malaysia mengambil peluang ini untuk menyelaras agenda pembangunan komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani.

Sidang kemuncak ini turut menggariskan peranan penting Malaysia dalam membentuk keputusan-keputusan strategik ASEAN, terutamanya dalam menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi yang semakin kompleks. Antara isu utama yang dibincangkan adalah pertikaian Laut China Selatan, krisis kemanusiaan di Myanmar dan Gaza, serta cabaran ekonomi digital dan rantaian bekalan serantau.

Selain itu, Malaysia memanfaatkan peluang sebagai Pengerusi ASEAN untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi serantau, khususnya dengan rakan dialog seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China. Skala ekonomi gabungan ASEAN, GCC dan China yang mencecah hampir USD25 trilion serta populasi lebih dua bilion orang, menempatkan Malaysia di kedudukan strategik untuk memacu perdagangan rentas wilayah dan pembangunan infrastruktur mampan.

Sidang kemuncak ini juga memberi limpahan ekonomi langsung kepada negara, terutamanya dalam sektor pelancongan, perhotelan dan membuka peluang perniagaan baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Penganjuran acara berskala besar ini membuktikan keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah dan pemacu ekonomi serantau.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan bahawa ASEAN perlu menjadikan pembasmian kemiskinan dan perlindungan komuniti rentan sebagai teras agenda serantau. Pertumbuhan ekonomi menurut beliau, mesti membawa peningkatan kebajikan rakyat, perlindungan sosial dan maruah manusia di seluruh rantau ini.

Malaysia juga berperanan sebagai pendamai dalam isu-isu serantau, termasuk pertikaian di Laut China Selatan dan usaha gencatan senjata di Myanmar. Pengalaman Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sebelum ini membuktikan keupayaan negara dalam mendepani cabaran dan mencari jalan penyelesaian terbaik demi kestabilan rantau.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 turut menyaksikan pelbagai sesi berprofil tinggi, termasuk sesi plenari dan retreat bersama pemimpin ASEAN, serta libat urus dengan Perwakilan Parlimen ASEAN (AIPA), wakil belia dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC). Hasil signifikan seperti pertukaran perjanjian tenaga boleh baharu antara syarikat Malaysia, Singapura dan Vietnam turut dimeterai, menandakan komitmen terhadap pembangunan mampan.

Malaysia menegaskan bahawa kejayaan ASEAN bukan sahaja diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi juga melalui peningkatan kualiti hidup rakyat, pendidikan, kesihatan awam dan pengurangan jurang kemiskinan. Inilah cabaran sebenar yang perlu ditangani bersama demi masa depan ASEAN yang lebih inklusif dan mampan.

Dengan semangat kerjasama dan profesionalisme tinggi dalam kalangan pemimpin ASEAN, Sidang Kemuncak ke-46 diyakini mampu memperkukuh perpaduan dan peranan utama ASEAN di persada dunia. Malaysia, sebagai pemacu utama sidang kali ini, terus komited untuk memastikan ASEAN kekal relevan dan responsif terhadap cabaran global masa kini dan akan datang.

Artikel Berkaitan

Back to top button