Santai

Simpan pakaian, periuk tidak dipakai lebih 40 hari akan dihisab

Ini kerana, menurut Ustaz Pahrol Mohamad Juoi yang juga seorang pendakwah, pakaian yang tidak dipakai, janganlah disimpan kerana semua ini akan dihisab di akhirat kelak

SUDAH menjadi kelaziman bagi seseorang mempunyai banyak koleksi pakaian, kasut, periuk dan pelbagai barangan lagi. Bahkan masih membeli yang baru biarpun pakaian sedia ada langsung tidak diusik.

Ini kerana, menurut Ustaz Pahrol Mohamad Juoi yang juga seorang pendakwah, pakaian yang tidak dipakai, janganlah disimpan kerana semua ini akan dihisab di akhirat kelak.

“Kaum ibu saya ingin pesan kalau ada pakaian yang dah 40 hari tak pakai, jangan simpan. Nanti akan dihisab. Kalau dah 40 hari tak pakai, maksudnya kita dah tak perlukannya.

“Ini termasuklah periuk di dapur. Biasa berlaku periuk lama masih ada, kita beli yang baru. Semua ini akan dihisab. Kalau dah 40 hari tak pakai, berilah pada orang lain untuk digunakan supaya kita tukar barang tersebut jadi pahala.

“Biar kita letakkan dunia ini sebagai alat, dan reda Allah itu sebagai matlamat. Kita jadikan  harta yang kita ada sebagai alat untuk meraih pahala dan bukan matlamat hidup,” ujar beliau dalam satu klip video yang dikongsi di media sosial.

Seksaan tidak belanjakan harta ke jalan yang benar

Dalam pada itu, pesanan tersebut juga selaras dengan Surah at-Taubah, ayat 34-35 yang menceritakan seksaan yang akan dialami di akhirat jika seseorang tidak membelanjakan hartanya di jalan yang benar, tetapi menyimpan untuk diri sendiri.

“…Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya di jalan ALLAH, maka berikanlah khabar gembira kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) azab yang pedih, (ingatlah) pada hari ketika emas dan perak dipanaskan di dalam neraka Jahanam, lalu dengan itu diselar dengan dahi mereka, rusuk dan punggung mereka (sambil dikatakan) kepada mereka, Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah (akibat daripada) apa yang kamu simpan itu.”

Selain itu, terdapat juga hadis yang memperincikan bahawa lebih baik untuk memberi barang yang tidak digunakan kepada orang yang lebih memerlukan.

“Sesiapa yang memakai pakaian yang baru, hendaklah dia mengucapkan: Segala puji bagi Allah yang telah memakaikan aku sesuatu yang dapat menutup auratku dengannya dan telah memperindahkan diriku di dalam kehidupan ini. Kemudian dia pergi kepada pakaian yang telah ditanggalkannya itu (pakaian lama) lalu dia menyedekahkannya, maka dia berada di bawah lindungan Allah, pemeliharaan-Nya dan ditutup (keaibannya) semasa hidup dan selepas meninggal dunia.” – Hadis Riwayat Umar Al-Khattab, 3/134

Berdasarkan penerangan tentang hisab ke atas harta di atas, jelas bahawa barang yang tidak digunakan tidak elok disimpan. Sebaliknya, lebih baik jika barang tersebut diberi kepada orang yang memerlukan sekaligus memberikan ganjaran bersedekah. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button