Berita

Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Ke-3, memperkasa bahasa dan budaya bangsa

Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman (IKK) dengan kerjasama Kursi Pengajian Melayu dan Peradaban Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dari Thai Global Business Administration Technological College (TGBC) dan Rajamangala University of Technology (RMUTT) Thailand, serta Asia Lecturers Teachers Community (ALTC) Indonesia akan menganjurkan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu ke-3. Acara berprestij ini dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 September 2024 di Hotel IDEAS, Kuala Lumpur.

Mengangkat tema “Bahasa Membina Bangsa”, simposium ini bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan merasmikan acara ini dan mendeklamasikan puisi pada Malam Puisi Mengukir Bangsa ke-3, yang merupakan kesinambungan daripada Malam Gema Puisi 2023 dan Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia pada tahun 2022.

Pengerusi Aspirasi Bahasa 2024, Dr. Kamarazaman Yacob, menyatakan bahawa simposium ini adalah hasil inisiatif berterusan IKK. “Edisi pertama diadakan pada Mei 2022 di Dewan Bahasa dan Pustaka, diikuti oleh edisi kedua pada September 2023 di Hotel UCSI. Tahun ini, fokus utama adalah untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dan masyarakat,” katanya.

Simposium ini akan menghimpunkan tokoh pejuang bahasa, ahli akademik, dan aktivis dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pandangan serta idea mengenai pemerkasaan Bahasa Melayu. Antara tokoh yang dijemput termasuk Saudara Syed Mohd Zakir Syed Othman, penerima Anugerah SEA Write 2011, dan Saudara Hishamuddin Rais, aktivis sosial dan penulis.

Program simposium ini akan berlangsung seperti berikut:

Tarikh: 23 dan 24 September 2024 (Isnin dan Selasa)

Masa:

  1. 9.00 pagi – 4.30 petang (Hari Pertama) – Simposium
  2. 8.30 malam – 10.30 malam (Hari Pertama) – Malam Puisi
  3. 8.30 pagi – 1.00 petang (Hari Kedua) – Simposium

Tempat: Hotel IDEAS, Kuala Lumpur

Acara ini akan merangkumi ucaptama, pembentangan kertas kerja, sidang pleno, forum, serta penyediaan Resolusi yang melibatkan pembentangan oleh tokoh dari Malaysia, ASEAN, dan antarabangsa.

Pendaftaran untuk simposium masih dibuka! Untuk mengesahkan penyertaan, sila layari borang pendaftaran melalui pautan ini. Untuk sebarang pertanyaan, hubungi kami di +6018-918 8551 atau +6011-6330 7978, atau e-mel kepada [email protected] atau [email protected].

Jom sertai simposium ini dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu dan mengukuhkan jati diri bangsa!

Artikel Berkaitan

Back to top button