Berita

Sindiket rasuah: SPRM tahan ‘Datuk’, wang tunai RM38 juta, emas 200kg dirampas

Sindiket itu terlibat dalam rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.

KUALA LUMPUR 26 Julai – Pasukan Petugas Agensi-agensi Penguatkuasa Malaysia (MATF) merampas wang tunai RM38 juta dan emas seberat 200kg dianggarkan bernilai RM60 juta dalam operasi besar-besaran terhadap sindiket melakukan pelbagai jenayah, Isnin lalu.

Sindiket itu terlibat dalam rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.

Sumber berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengetuai operasi pasukan itu turut menyita 17 kereta mewah berjenama Maserati, Ferrari dan Mercedes-Benz.

Menurutnya, turut ditahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Siasatan dibuat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA)2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama polis, imigresen, kastam, Bank Negara (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Cyber Security Malaysia (CSM).

Sementara itu, sumber SPRM memberitahu Abdul Malik Dasthigeer, atau lebih dikenali “Dato Malik”, dibebaskan dengan jaminan tengah hari tadi.

Ahli perniagaan itu ditahan SPRM pagi semalam mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla).

Malik Group of Companies terdiri daripada Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Malik Maju Sdn Bhd, Malik Streams Properties Sdn Bhd, Malik Streams Antenna Movies Sdn Bhd, dan Malik Streams Production & Distribution. – FMT

Artikel Berkaitan

Back to top button