Sindiket tawar RM2 juta untuk gelaran Tan Sri
Beberapa lagi individu yang terlibat dengan sindiket itu sedang diburu SPRM.
KUALA LUMPUR 9 Dis. – Bayar RM2 juta untuk terima gelaran Tan Sri, RM250,000 untuk Datuk Seri dan RM150,000 untuk gelaran Datuk.
Namun, anugerah itu adalah palsu dan yang didalangi seorang presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah ditangkap.
Suspek adalah satu daripada enam individu yang ditahan selepas kegiatan mereka terbongkar.
Difahamkan, suspek yang berusia 30-an itu ditahan di Melaka kira-kira jam 3 petang pada Rabu.
Sumber yang mengetahui siasatan itu berkata, lelaki itu disyaki memainkan peranan penting dalam sindiket tersebut dan merupakan orang yang menentukan harga bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan anugerah.
Difahamkan, sindiket itu telah menipu enam individu yang ingin mendapatkan anugerah tanpa melalui prosedur biasa.
“Sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak 2020.
“Mereka dikatakan memperdaya mangsa dengan menunjukkan gambar dan dokumen kononnya dari agensi kerajaan.
“Ini bagi meyakinkan mangsa mereka bahawa pingat dan gelaran yang mereka susun melalui pintu belakang adalah tulen,” kata sumber.
Dipercayai seorang daripada mangsa telah membayar RM1.2 juta untuk dianugerahkan gelaran Tan Sri, dan siasatan turut mengesan lima lagi mangsa sindiket itu.
Pada Khamis, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan perintah reman lima hari terhadap presiden NGO itu sehingga 11 Disember lalu.
Sumber berkata, empat lagi suspek – tiga lelaki dan seorang wanita berusia 30-an hingga 50-an – ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 30 November.
Suspek kelima, seorang wanita berusia 40-an, ditahan pada 4 Disember.
Tiga daripada suspek disambung reman selama tiga hari mulai 6 Disember manakala seorang dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Suspek wanita, yang ditahan pada 4 Disember, direman empat hari bermula 5 Disember.
Pengarah Kanan Penyiasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu, sambil menambah bahawa agensi itu sedang menyiasat kes itu.
Beliau berkata, pihaknya sedang mencari beberapa individu lain kerana terlibat dalam sindiket itu. — The Star