Hiburan

Siti Khadijah dakwa disidai, dilempar skrip di lokasi

Pelakon drama From Saga With Love 2, Siti Khadijah Halim mendakwa pernah dilemparkan skrip dan disidai di lokasi penggambaran seharian oleh kru produksi ketika mula berlakon kira-kira lima tahun lalu.

Perlakuan biadap berkenaan menyebabkan pelakon yang mesra disapa Siti, mengakui dirinya trauma hingga enggan lagi bekerja dengan individu itu.

“Saya pernah dibuli pada awal kemunculan. Saya faham mungkin masih baharu dan perempuan pula, jadi saya dimarah dan diherdik.

“Dia lemparkan skrip dan tahan saya di lokasi dari pagi hingga ke malam, kononnya ada babak membabitkan saya, tapi sampai ke sudah saya disidai.

“Maki-maki itu normal, kru terbabit juga ada berkata sesuatu, tetapi saya lupa apa dikatakan. Sejak itu, saya rasa cukuplah, itu kali pertama dan terakhir saya bekerja dengannya sebab saya trauma.

“Kes buli boleh terjadi di mana-mana sahaja, sekolah, universiti atau tempat kerja.

“Jika berlalu di tempat kerja paling kelakar. Saya menjangkakan semua orang sudah matang, perbuatan buli ini selalunya membabitkan budak-budak, tetapi tak sangka di tempat kerja pun ada kes seperti ini,” katanya yang ditemui pada sesi tayangan dua episod terakhir drama From Saga With Love 2.

Bagaimanapun, kata Siti, dia bersyukur dididik oleh keluarga menjadi seorang yang kental. Pengalaman dilalui membentuknya menjadi seorang yang tidak mudah berputus asa.

Kata Siti lagi, jika hatinya tidak kental, mungkin sudah lama lenyap daripada industri.

Biarpun isu buli kerap berlaku, namun Siti berkata, ia tidak sepatutnya dinormaliasikan.

“Saya harap budaya buli tidak dinormalisasikan dan berharap perbuatan ini dapat dihentikan. Kalau ternampak ada orang dibuli, saya akan pertahankan. Mereka dibuli kena luahkan apa yang dilalui, jangan simpan sendirian kerana boleh menganggu minda kalian.

“Saya dulu pernah dibuli, tapi saya bangun semula. Kalau perlu menangis, menangislah. Jika perlu marah, lepaskanlah tidak kira kepada tembok atau orang sebelah.

“Kalau anda dikhianati, kena luahkan. Jangan simpan lama-lama dalam hati,” katanya.

Sementara itu, Siti mengakui tidak lagi menyimpan dendam dan sudah memaafkan individu yang pernah membulinya.

Namun, katanya, kesan dan trauma yang dilalui masih lagi terasa hingga hari ini.

Kredit: Serimah Mohd Sallehuddin | Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button