Berita

Sivakumar perlu jelaskan pengambilan pekerja asing bagi 3 sub-sektor

Terdapat kekeliruan berkenaan angka sebenar pengambilan pekerja asing sub-sektor tersebut.

KUALA LUMPUR Okt 9 – Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar perlu memberi penjelasan terperinci mengenai pengambilan pekerja asing bagi tiga sub-sektor perkhidmatan iaitu tukang gunting rambut, tekstil dan kedai emas.

Ini kerana walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pengambilan seramai 7,500 pekerja sub-sektor tersebut bulan lepas, terdapat kekeliruan akan angka sebenar pengambilan pekerja asing sub-sektor tersebut.

Ahli-ahli perniagaan yang terlibat dalam sub-sektor tersebut agak keliru dengan angka yang dilontarkan oleh Sivakumar dan mereka mahukan pendirian sebenar kerajaan mengenai angka pekerja asing yang boleh dibawa masuk ke dalam negara untuk bekerja dalam tiga sub-sektor tersebut.

“Bulan lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan membenarkan seramai 7,500 pekerja asing dibawa masuk untuk bekerja dalam ketiga-tiga sub-sektor ini. Akan tetapi Menteri KSM pula minggu lalu berkata angka 7,500 ini termasuk 5,000 pekerja yang sedia ada di negara ini.

“Jika ini benar, maka pengambilan ini hanya untuk 2,500 pekerja asing baharu untuk sub-sektor ini. Ini tidak memadai dan tidak dapat menampung permintaan. Menteri KSM sepatutnya berunding dengan pihak industri sebelum membuat pengumuman sedemikian.

Sub-sektor ini sebenarnya memerlukan seramai 30,000 orang pekerja asing dan kebanyakannya adalah dari India. Jadi kita sebagai pemain industri ingin mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci mengenai angka ini…2,500 pekerja asing bagi ketiga sub-sektor ini jelas tidak memadai,” kata seorang ahli perniagaan, yang tidak ingin dinamakan.

Kerajaan telah membekukan pengambilan pekerja asing bagi tiga sub-sektor ini sejak 2009 dengan alasan terdapat lambakan pekerja asing bagi sub-sektor ini ketika itu.

Akan tetapi semenjak pandemik Covid-19 peniaga dan pengusaha perniagaan yang berkaitan dengan ketiga-tiga sub-sektor ini telah mengadu bahawa terdapat kekurangan pekerja dalam ketiga-tiga sub-sektor tersebut.

Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan lebih sebulan yang lalu telah meminta jasa baik Anwar untuk memberi kelulusan untuk membawa pekerja asing dari India untuk memenuhi tuntutan industri untuk pekerja.

Seruan ini telah disambut oleh Anwar yang mengumumkan kelulusan untuk pengambilan 7,500 pekerja asing India untuk memenuhi kehendak Industri. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button