Berita

Sogo selamat untuk dikunjungi, tiada objek mencurigakan – Onn Hafiz

Polis mengesahkan terdapat panggilan ancaman bom di pusat beli belah di Johor.

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Ahad melawat pusat beli-belah dan hotel yang menerima panggilan ancaman bom pada Sabtu.

Onn Hafiz meninjau lokasi kejadian untuk melihat sendiri keadaan di sana bersama Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

“Keadaan di pusat beli-belah dan hotel adalah terkawal dan selamat untuk dikunjungi.

“Keseluruhan kawasan bangunan pusat beli-belah dan hotel telah diperiksa oleh unit pemusnah bom dan unit anjing pengesan (K9).

“Syukur, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek mencurigakan dan mengesahkan ia selamat untuk beroperasi seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Onn Hafiz seterusnya menzahirkan penghargaan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor serta semua pihak yang terlibat dalam usaha menjaga keselamatan negara serta orang awam.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar Negeri Johor terus terpelihara daripada sebarang ancaman mahupun insiden yang tidak diingini,” ujarnya.

Pada Sabtu, polis mengesahkan pengurusan sebuah pusat beli-belah dan hotel di Johor, menerima panggilan ancaman bom daripada seorang lelaki dipercayai warga asing. Keadaan itu menyebabkan ribuan pengunjung dan kakitangan berdepan detik cemas selepas diminta mengosongkan bangunan terbabit. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button