Solari akui JDT layak menang, KL City dedah punca kalah
JDT memperagakan aksi yang kemas walaupun berdepan tentangan sengit daripada KL City FC.
KUALA LUMPUR 23 Julai – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengakui skuad kendaliannya berhak memenangi Piala FA 2023 berdasarkan persembahan anak buahnya di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Jelasnya, anak buahnya memperagakan aksi yang kemas walaupun berdepan tentangan sengit daripada KL City FC sebelum berjaya meledak dua gol pada babak kedua untuk meraih kemenangan 2-0.
“Final adalah aksi yang sukar dan saingan sengit ditunjukkan oleh pasukan lawan. Tetapi saya fikir kita berjaya mengendalikan perlawanan dan mencipta banyak peluang.
“Kita berjaya mendapat dua gol dan mengawal perlawanan. Saya rasa JDT adalah pemenang yang tepat dan saya gembira dengan kejayaan ini,” katanya.
Pada aksi final di Stadium Sultan Ibrahim itu, JDT mempertahankan Piala FA yang dimenangi mereka pada tahun lalu sekali gus menghimpun kejuaraan ketiga.
Dua jaringan pada babak kedua masing-masing menerusi Shio Hong Wan dan Leandro Velazquez membolehkan JDT merakam kemenangan 2-0 ke atas lawan yang menewaskan mereka dengan keputusan sama pada final Piala Malaysia 2021.
Sementara itu, Kapten KL City FC, Paulo Josue mengakui jaringan bak peluru Shio Hong Wan menjadi faktor kekalahan 0-2 pasukannya kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala FA.
Menurut pemain naturalisasi itu, dia dan rakan sepasukan sudah beraksi dengan baik di Stadium Sultan Ibrahim sebelum dibolosi dengan jaringan cantik dari jarak jauh pemain tengah skuad Harimau Selatan itu selepas setengah jam permainan.
“(Kekalahan) ini adalah sebahagian daripada bola sepak. Kita bertemu pasukan yang terbaik di Asia Tenggara tetapi kami dapat memberikan aksi yang terbaik menentang JDT.
“Kita melakukan tugas yang baik pada babak pertama dan turun dengan mentaliti sama pada babak kedua. Kemudian kami dibolosi dengan gol yang cantik dari jarak jauh.
“Saya tetap berbangga dengan pasukan kerana kami layak ke final ketiga dalam tempoh tiga tahun walaupun berdepan beberapa masalah. Apapun, tahniah kepada JDT,” katanya. — Berita Harian