Solari mahu JDT julang piala Liga Super kali ke 10 malam ini
JDT hanya perlu seri menentang PDRM untuk layak bergelar juara Liga Super.
KUALA LUMPUR 27 Sept. – Johor Darul Ta’zim (JDT) berazam menoktah kejuaraan Liga Super kali ke-10 berturut-turut apabila berdepan PDRM dalam aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini.
Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, sepatutnya kejuaraan liga dikecapi lebih awal sekiranya mencipta kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi 26 Ogos lalu tapi tertangguh selepas mencatat keputusan seri 3-3.
“Secara matematik, kita hanya perlu seri sahaja dengan PDRM FC tapi itu bukan yang kita mahu sebaliknya ingin melakar kemenangan untuk menjulang piala buat kali ke-10 berturut-turut dan pastinya kami enggan melepas peluang terbaik untuk lakar sejarah di hadapan penyokong sendiri.
“Sememangnya kami tidak sabar untuk perlawanan itu nanti kerana sasaran menang liga semakin hampir tapi kami tetap akan berhati-hati dengan penampilan pasukan lawan yang mula menunjukkan peningkatan di bawah jurulatih baharu (Datuk Yunus Aliff).
“Saya selalu percaya bahawa pemain harus mengambil peluang untuk beraksi dengan corak permainan yang konsisten dan sentiasa berada dalam `mood’ yang terbaik apabila bermain di padang malah mereka tampak tidak berdepan masalah mempratikkan taktikal disiplin yang dirancang.” katanya.
Pengendali kelahiran Argentina itu tidak menolak kemungkinan akan membariskan kesebelasan terbaik memandangkan selepas aksi liga, skuad Harimau Selatan akan ke Thailand untuk mengharungi aksi kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang BG Pathum United FC di Stadium Pathum Thani, Bangkok.
Beliau berkata, apa yang diutamakan adalah memastikan setiap pemain berada di tahap kecergasan yang memuaskan terutama Jordi Amat yang mengalami kecederaan tapi tidak serius dan akan pulih untuk turun dalam aksi liga dan juga ACL.
“Aksi saingan ACL amat sukar dan kami merasainya, jadi kami perlu nilai dahulu setiap pemain tapi dalam masa yang sama akan menurunkan barisan terbaik seperti perlawanan menentang Negeri Sembilan, baru-baru ini.
“Kami mahu ambil kesempatan daripada perlawanan ini untuk menyiapkan diri sebelum berdepan kelab dari Thailand kerana aksi dalam saingan ACL itu kami meletakkan sasaran positif dan semestinya mahu memperkemaskan lagi taktikal disiplin sebelum terbang ke Bangkok.
“Apapun kami enggan terperangkap dengan helah corak permainan PDRM yang mungkin akan beraksi secara bertahan dan kami bersedia untuk berdepan situasi itu dan mahukan kemenangan bagi mengesahkan kejuaraan liga,” kata Solari. — Berita Harian