Sorakan ribuan peminat sambut Jin BTS bawa obor Sukan Olimpik Paris
Anggota kumpulan BTS iaitu Jin membawa obor Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ahad di sini dengan disambut oleh ribuan peminat yang bersorak, lapor Agensi Berita Yonhap.
Penyanyi Korea Selatan itu mengetuai larian pembawa obor berganti-ganti di Muzium Louvre di Paris, bermula kira-kira 8 malam.
Ribuan peminat BTS dikenali sebagai ARMY berkumpul untuk melihat bintang berkenaan atau nama sebenarnya Kim Seok-jin.
Peminat memegang papan tanda yang ditulis tangan dalam bahasa Korea seperti, “Selamat Datang, Seok-jin, Saya Sayang Kamu,” “Lari, Seok-jin” dan “Semoga Berjaya, Seok-jin,” bersama dengan bendera Korea Selatan.
Ketika Jin muncul dari pusat pembawa obor di muzium itu kira-kira 8 malam, orang ramai bersorak sambil melaungkan namanya manakala Jin melambai kepada peminatnya.
Sambil dikawal oleh polis, dia kemudian bergerak ke Rue de Rivoli, sebuah jalan berhampiran dan diserahkan obor berkenaan.
Jin kemudian berlari kira-kira 200 meter sebelum mengembalikannya ke pusat pembawa obor di muzium.
Acara itu bertepatan dengan Hari Bastille, cuti kebangsaan Perancis.
“Saya berasa amat berbesar hati kerana dapat menyertai larian pembawa obor berganti-ganti hari ini.
“Saya sangat berterima kasih kepada ARMY dan semua peminat yang membolehkan saya membawa obor ini,” kata Jin selepas menyelesaikan larian pembawa obor itu, menurut Hybe, syarikat induk agensinya, BigHit Music.
Penyanyi berusia 31 tahun itu baru-baru ini menamatkan perkhidmatan ketenteraan wajibnya, menjadi ahli BTS pertama yang melakukannya.
Dia dijangka memberi tumpuan kepada aktiviti solo dalam beberapa bulan akan datang.
Obor Olimpik yang tiba di Paris pada Ahad akan melalui pelbagai bahagian ibu negara Perancis sehingga Isnin dan kemudian kembali ke wilayah sebelum kembali ke Paris untuk upacara pembukaan pada 26 Julai. — BERNAMA