Jenayah

Sorok dadah bernilai RM10.39 juta di kandang kambing

Rampasan membabitkan 15.498 kilogram (kg) heroin base, 49.525kg heroin dan 261.766kg methamphetamine, dipercayai untuk pasaran tempatan

SHAH ALAM 9 Nov – Polis Selangor menemui dadah bernilai RM10.39 juta dalam dua serbuan minggu lalu, termasuk yang ditanam di kandang kambing.

Rampasan membabitkan 15.498 kilogram (kg) heroin base, 49.525kg heroin dan 261.766kg methamphetamine, dipercayai untuk pasaran tempatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, berkata dalam serbuan pada 2 dan 3 November itu, 10 lelaki tempatan berumur antara 18 hingga 44 tahun turut ditangkap.

Katanya, operasi serbuan bersama pasukan dari Bukit Aman itu bertujuan menumpaskan sindiket pengedaran dadah heroin dan methamphetamine.

“Dalam kes pertama pada 2 November, polis menahan seorang lelaki di tepi Jalan kawasan perumahan Bandar Puncak Alam pada jam 11.25 pagi dan merampas 241 bungkusan plastik mengandungi methamphetamine dianggar seberat 250.78 kg.

“Susulan tangkapan itu, polis menahan tiga lagi suspek di sebuah restoran di kawasan Pusat Perdagangan Puncak Alam Jaya dan merampas dadah jenis sama dianggar 9.369kg yang ditemui dalam kenderaan suspek.

“Ada antara suspek bekerja sebagai pengurus ladang kelapa sawit dan peniaga pakaian terpakai, manakala ada juga penganggur.

“Seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod lampau dadah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam serbuan kedua pada 3 November, Hussein berkata, polis menahan enam suspek yang berkumpul di sebuah tempat rehat bersebelahan kandang kambing di Kapar dan menjumpai 44 paket plastik lutsinar berisi heroin anggaran 62 gram.

“Susulan tangkapan itu, suspek memandu arah ke kandang kambing dan menunjukkan dadah yang ditanam dalam empat lubang di kandang itu.

“Polis menemui 109 paket plastik lutsinar heroin (49.463kg), lapan paket plastik lutsinar methamphetamine (1.617 kg), 41 ketulan mampat mengandungi serbuk warna putih dibalut plastik lutsinar dan kertas warna kuning heroin base (15.498kg).

“Siasatan mendapati empat suspek bekerja di kandang kambing terbabit manakala dua lagi bekerja sebagai buruh.

“Lima daripada suspek mempunyai pelbagai rekod dadah dan jenayah manakala ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah,” katanya.

“Polis turut menyita empat kenderaan jenis Toyota Vellfire, Honda Stream, dua Honda City serta satu akaun bank bernilai RM269,229.

“Semua suspek direman tujuh hari, masing-masing bermula 3 dan 4 November.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button