Speaker tolak usul bincang DNAA Zahid
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengesahkan usul itu ditolak selepas diminta mengesahkan sama ada usul diterima atau ditolak oleh Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan Wan Fahysal
KUALA LUMPUR 11 Sept – Usul tergempar dikemukakan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagi mendapatkan penjelasan peguam negara berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditolak.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengesahkan usul itu ditolak selepas diminta mengesahkan sama ada usul diterima atau ditolak oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Wan Fahysal.
“Usul telah ditolak. (Tetapi) saya nak bagi ruang (Ahli Parlimen Machang berucap) sebab usul (itu) ditolak dan saya bagi ruang kepada dia cakap sekejap lagi.
“Cuma sabar. Kamu (Hamzah), tidak tahu apa yang ada dalam kepala saya ini,” katanya mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadualkan mengemukakan usul khas bagi kelulusan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2023-2025.
Johari berkata, selepas pembentangan usul khas Anwar, Wan Fayhsal dibenarkan untuk berucap mengenai usulnya yang ditolak itu.
Terdahulu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan meminta Johari membenarkan usul ketua Pemuda Bersatu itu dibincangkan dahulu sebelum memulakan usul khas yang akan dibentangkan perdana menteri.
Bagaimanapun, Johari tidak membenarkannya dan meminta usul khas dibentangkan terlebih dulu.
Pada 8 Sept, usul tergempar dikemukakan Wan Fayhsal di Dewan Rakyat bagi mendapatkan penjelasan peguam negara berhubung keputusan Zahid dilepaskan, minggu lalu.
Wan Fayhsal berkata, beliau memohon sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat untuk memberi laluan kepada usul itu.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu. – Xklusif