Berita

SPRM akan siasat PM, Menteri Kewangan terbabit kes SPANCO

Keterangan daripada semua yang terbabit itu perlu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan

KUCHING 6 Feb – Semua yang terbabit dalam membuat keputusan penganugerahan kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (SPANCO) sejak syarikat berkenaan beroperasi pada 1990-an akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata ia termasuk Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu.

Beliau berkata, keterangan daripada semua yang terbabit itu perlu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (SPANCO) hanya merugikan negara.

Perdana Menteri berkata, beliau tahu kontrak terbabit juga tidak menyenangkan penjawat awam yang menggunakan kemudahan berkenaan.

“Semua saudara terbabit dalam penggunaan kemudahan SPANCO (membekalkan kenderaan kerajaan) dan tindakan serta sikap saya keras terhadap SPANCO itu sejak saya jadi Menteri Kewangan dahulu.

“Saya tidak tahu di mana salahnya, tetapi saya tahu peraturan itu tidak betul, saya tahu ia merugikan negara, saya tahu ia tidak menyenangkan penjawat awam, tetapi kita lesu tidak berupaya berbuat apa-apa kerana tidak ada ketegasan dan tekad politik untuk bertindak,” katanya. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button