SPRM beku 41 akaun Aman Palestin, kenal pasti penyelewengan dana RM70 juta
SPRM juga telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting.
KUALA LUMPUR 23 Nov. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan amal Aman Palestin tersebut dan beberapa entiti syarikat lain dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.00, pada Rabu.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, siasatan itu dilakukan susulan dakwaan pertubuhan amal itu menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.
“Sebelum ini, SPRM turut membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.
“Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya.
Jelasnya, SPRM juga telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting.
Tambahnya, hasil siasatan awal telah mengenalpasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan. — SPRM