SPRM beku akaun, Aman Palestin dakwa misi bantuan terjejas
Pihak Aman Palestin masih menunggu penjelasan rasmi dan lengkap daripada SPRM berhubung tindakan berkenaan

KUALA LUMPUR 23 Nov – Aman Palestin Bhd (Aman Palestin) mengakui misi bantuan kemanusiaan di negara berkenaan akan terjejas berikutan akaun syarikat itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun, Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil, berkata pihaknya masih menunggu penjelasan rasmi dan lengkap daripada SPRM berhubung tindakan berkenaan.
“Peguam kami juga akan dapatkan maklumat daripada SPRM kerana kenyataan dikeluarkannya bersifat umum.
“Beberapa individu daripada Aman Palestin dipanggil SPRM untuk memberi keterangan dan mereka sudah berbuat demikian.
“Kami memberi kerjasama penuh terhadap siasatan SPRM, doakan untuk kami,” katanya pada BH, hari ini.
Terdahulu, SPRM dalam kenyataan mengesahkan pembekuan 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.00, semalam.
Ia berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.
SPRM juga merakam beberapa keterangan saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain objektif penubuhan syarikat berkenaan.
Pada 7 November lalu, SPRM dilaporkan masih belum memanggil mana-mana saksi berhubung siasatan terhadap Aman Palestin yang mengutip derma untuk rakyat negara berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dipetik berkata ketika itu siasatan masih berjalan dan pegawai forensik agensi terbabit sedang meneliti dokumen membabitkan kewangan syarikat berkenaan.
Media melaporkan SPRM memulakan siasatan ke atas Aman Palestin berhubung aktiviti pengumpulan derma untuk rakyat Palestin susulan tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) menarik balik kebenaran untuk syarikat itu membuat kutipan bagi tujuan berkenaan.
Ia apabila ada aduan beberapa pihak yang meminta Aman Palestin disiasat berkaitan wang dipungut dan dikumpulkan selama ini.
SPRM mempunyai kuasa untuk memulakan siasatan berdasarkan maklumat yang dilaporkan media. – Berita Harian