Berita

SPRM cari mangsa sindiket jual darjah kebesaran

Difahamkan mangsa-mangsa ini telah diperdaya oleh seorang lelaki yang merupakan pemegang jawatan utama presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)

KUALA LUMPUR 22 Dis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini masih giat mengesan mangsa-mangsa terjejas kes penipuan sindiket penjualan Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu gelaran Datuk Datuk Seri dan Tan Sri yang ditumpaskan awal bulan ini.

Sumber memberitahu, difahamkan mangsa-mangsa ini telah diperdaya oleh seorang lelaki yang merupakan pemegang jawatan utama presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Lelaki tersebut telah disiasat oleh SPRM baru-baru ini, namun agensi penguat kuasa terbabit memerlukan mangsa-mangsa lain untuk tampil segera untuk membantu siasatan kami,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi hari ini berkata, setakat ini pihaknya telah mengenalpasti tujuh mangsa sindiket tersebut dengan lima daripada telahpun tampil memberi keterangan dalam kes tersebut.

“Pihak kami percaya masih ada beberapa lagi mangsa yang perlu tampil untuk membantu kami melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Muhammad Aiman Jamil di talian 03-88700473 atau 017-2820484.

Terdahulu, SPRM menerusi kenyataan Pada 8 Disember lalu telah membongkar sindiket penjualan gelaran Tan Sri disyaki didalangi seorang individu yang merupakan presiden sebuah NGO di negara ini.

Seramai enam individu termasuk presiden NGO itu berjaya ditahan dan direman kerana disyaki terlibat dalam penjualan gelaran pingat Tan Sri dengan bayaran RM2 juta.

Empat lelaki termasuk presiden NGO berkenaan serta dua wanita lagi yang berusia lingkungan antara 30 hingga 50-an itu berjaya ditahan di lokasi berasingan ketika tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini dan di Melaka bermula 30 November lalu.

Presiden NGO itu disyaki menetapkan harga bagi calon yang berminat mendapatkan pingat kebesaran dan mengarahkan ahli sindiketnya iaitu seorang lelaki berusia 50-an menyamar sebagai Tengku.

“Ia bagi mendapatkan bayaran untuk menipu kira-kira enam individu lain yang ingin mendapatkan pingat kebesaran tanpa melalui prosedur biasa.

“Sindiket ini dipercayai mula menjalankan kegiatan sejak 2020 dan telah memperdayakan beberapa mangsa membabitkan kerugian beratus ribu ringgit dengan menunjukkan gambar dan surat dokumen daripada sebuah agensi kerajaan bagi meyakinkan mangsa bahawa gelaran dan pingat yang diatur melalui pintu belakang ini adalah benar-benar tulen,” katanya.

Beliau berkata, sindiket itu mengenakan bayaran berbeza mengikut darjah kebesaran misalnya gelaran Datuk bernilai kira-kira RM150,000, Datuk Seri RM250,000 manakala Tan Sri bernilai kira-kira RM2 juta.

Menurut sumber berkenaan, seorang mangsa lelaki berusia dalam lingkungan 50-an dipercayai telah membayar kira-kira RM1.2 juta untuk mendapatkan gelaran Tan Sri menerusi beberapa transaksi bank kepada sindiket berkenaan.

Presiden NGO itu kini direman sehingga 11 Dis, manakala empat lagi individu direman sehingga hari ini manakala seorang telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button