Berita

SPRM perlu ‘campur tangan’ siasat rantaian bekalan pekerja asing

SPRM mesti menyiasat keseluruhan rantaian pengambilan pekerja asing bagi membanteras penyelewengan.

KUALA LUMPUR 27 Dis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menyiasat keseluruhan rantaian pengambilan pekerja asing bagi membanteras penyelewengan.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu agensi penguat kuasa bermula daripada syarikat yang menguruskan pengambilan dari negara sumber, pegawai agensi awam yang meluluskan permohonan majikan dan syarikat yang menerima pekerja berkenaan.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, berkata penganiayaan terhadap pekerja asing tidak dapat diselesaikan secara muktamad jika hukuman hanya membabitkan ejan yang melakukan penipuan.

Katanya, pesalah mesti dikenakan hukuman keras termasuk seperti dipenjara dan dirampas aset unutk memberi pengajaran bahawa eksploitasi buruh dan buruh paksa boleh merosakkan nama baik negara.

“Kebenaran kemasukan pekerja asing yang dipermudah akan mengakibatkan perlanggaran undang-undang buruh sehingga Malaysia dianggap negara buruh paksa.

“Kebajikan perlu diutamakan bagi mengelakkan imej negara terjejas kerana isu pekerja asing sebelum ini menyebabkan larangan masuk produk sarung tangan dan minyak kelapa sawit oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat.

“Pekerja asing yang melaporkan mengenai kedaan mereka, kegiatan yang dilakukan itu mungkin menyebabkan Malaysia kembali ke tahap tiga dalam badan pemerhati pemerdagangan manusia pada tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, ratusan warga asing yang mendakwa ditipu ejen pekerjaan berjalan beramai-ramai di daerah Kota Tinggi sehingga menimbulkan kegusaran awam, dan mereka ditahan polis.

Video warga asing berjalan beramai-ramai itu tular di media sosial sejak kelmarin.

MTUC berkata, mangsa penipuan sepatutnya dibantu dengan menyediakan pekerjaan dan agensi kerajaan wajar menyiasat kerana mereka dijanjikan peluang kerja tetapi ditipu.

“Syarikat pengambilan pekerja asing akan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan membekalkan tenaga kerja asing kerana dianggap sebagai lubuk emas.

“Perniagaan ini dilingkari persepsi negatif termasuk rasuah, sogokan, salah guna kuasa, gangsterisme dan kartel.

“Eksploitasi buruh akan berterusan jika tiada tindakan tegas ke atas majikan yang melanggar hak pekerja. Pekerja asing dibawa masuk tapi tiada pekerjaan, majikan gagal membayar gaji dan kerja lebih masa,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button