SPRM perlu tegas, elak rakyat hilang kepercayaan – Tuan Ibrahim
Agensi tersebut seharusnya lebih tegas agar rakyat tidak hilang kepercayaan kepada institusi anti rasuah.
KUALA LUMPUR 31 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak secara bebas terutama dalam isu melibatkan pertikaian awam berkaitan unsur rasuah.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, agensi tersebut seharusnya lebih tegas agar rakyat tidak hilang kepercayaan kepada institusi anti rasuah.
“Sebab itu (kenyataan Ahmad Zahid) orang pertikai. Saya bukan nak pertikai kenyataan SPRM.
“Tetapi bagi kita perlu ada satu panduan, yang mana boleh dan mana tak boleh. Tak nak sekejap kata boleh, tapi (bila) pembangkang sediakan bas tak boleh, sedangkan ini ‘direct’ bagi duit.
“Dalam keputusan pilihan raya Kuala Terengganu, benda macam ini dianggap salah oleh mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai Ceramah Kelompok Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, semalam.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menyatakan tiada unsur rasuah dalam ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu pada Jumaat lalu.
Sebelum ini media melaporkan, SPRM mendapati tindakan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh kerajaan kepada belia Terengganu tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah ekoran sebagai sebuah kerajaan, ia berhak untuk memberi inisiatif yang difikirkan wajar kepada rakyat.
Pengumuman Ahmad Zahid itu mendapat pelbagai reaksi terutama daripada golongan ahli politik termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – Sinar Harian