Berita

SPRM siasat golongan Tun, kerajaan tak masuk campur – Fahmi

Kerajaan memberi kebebasan kepada SPRM melakukan siasatan.

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Kerajaan Perpaduan tidak masuk campur dalam sebarang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas mana-mana individu yang bergelar Tun dan ahli keluarga mereka, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata kerajaan memberikan kebebasan kepada SPRM dalam melakukan sebarang siasatan yang dirasakan wajar, dan mengambil sebarang tindakan berlandaskan undang-undang.

Katanya beliau tidak nampak bagaimana perkara itu perlu dilihat sebagai satu isu politik atau sifat dendam.

“.. itu mungkin timbul dari perasaan diri beliau (Dr Mahathir) sendiri,” katanya kepada media selepas melancarkan pelan p-hailing Rahmah buat pemandu dan penunggang p-hailing di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian bagi mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan siasatan SPRM ke atas keluarganya baru-baru ini bermotifkan dendam politik.

Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan peribadi untuk siasatan dilakukan.

“Saya ingat perdana menteri juga telah beberapa kali berkata bahawa ia bukan sesuatu yang bersifat peribadi, dan sekiranya ada sebarang perkara yang melibatkan harta rakyat, wang ringgit rakyat, kerajaan ada hak untuk teliti, dan ia terpakai kepada semua pihak pihak bukan sahaja individu ataupun satu kelompok,” katanya.

Fahmi turut diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri secara kebetulan, dan bukan dipilih secara majoriti.

“Saya sarankan supaya Tun Dr Mahathir, sebagai seorang negarawan muhasabah diri beliau di dalam hari-hari senja ini. Kita perlu meninggalkan legasi yang murni daripada cuba menakut-nakutkan rakyat dengan berita seperti ini. Saya harap beliau lebih bermuhasabah,” katanya.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri sebanyak dua kali iaitu dari Julai 1981 hingga Oktober 2003, dan kemudiannya dari Mei 2018 hingga Februari 2020. — Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button