Berita

SPRM sudah siasat Anwar

Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu sudah membuka enam kertas siasatan untuk menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan akuan bersumpah Datuk Abdul Murad yang dikeluarkan pada 26 Oktober 1999

KUALA LUMPUR 24 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang mendakwa tiada siasatan dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SPRM dalam kenyataan berkata, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu sudah membuka enam kertas siasatan untuk menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan akuan bersumpah Datuk Abdul Murad yang dikeluarkan pada 26 Oktober 1999.

“Siasatan sudah dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan terperinci dengan bantuan Bank Negara Malaysia termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura.

“Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu,”katanya.

Menurutnya, sehubungan itu, enam kertas siasatan berkenaan sudah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002 dan Pejabat Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak.

“Justeru, SPRM ingin menekankan bahawa dakwaan BPR/SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Datuk Seri Anwar berhubung akuan bersumpah Datuk Abdul Murad adalah tidak benar sama sekali malah perkara berkenaan berlaku ketika kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri,”katanya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button