Jenayah

SPRM tahan 37 pegawai, anggota polis rasuah ahli patologi

Sehingga kini 37 ditahan secara berperingkat dan sudah diberikan jamin SPRM

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Dua anggota polis bersama seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki merasuah ahli patologi dalam urusan ujian saringan air kencing.

Sumber berkata, seorang daripada tiga suspek itu ditahan kelmarin, manakala dua lagi semalam ketika masing-masing hadir ke pejabat SPRM Segamat di Johor untuk dirakam keterangan.

Selain ASP itu, dua lagi yang ditahan masing-masing berpangkat Sarjan dengan semuanya berusia antara 36 hingga 54 tahun dan berkhidmat di tiga daerah berasingan di Johor.

“Mereka ditangkap semasa hadir memberi keterangan susulan tangkapan ke atas Pegawai Patologi sebuah hospital di Johor Bahru.

“Ketiga-tiga mereka dibebaskan selepas diberikan jamin dan keterangan selesai diambil pada hari sama,” kata sumber.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek itu.

Dalam pada itu, sumber berkata, hasil siasatan SPRM mendapati 10 pegawai kanan dan 33 penolong pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) seluruh daerah di Johor terbabit dalam merasuah ahli patologi sejak 2018 hingga 2022.

“Sehingga kini 37 ditahan secara berperingkat dan sudah diberikan jamin SPRM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Seri Azri Ahmad, berkata pihaknya akan membuka kertas siasatan tatatertib (KST0 berhubung tangkapan itu.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai satu laporan tangkapan membabitkan seorang pegawai dan dua anggota polis itu oleh SPRM. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button