SPRM tahan 4 kakitangan hospital terbabit rasuah urus mayat di Seremban
Kakitangan hospital itu disyaki menerima rasuah antara RM100 hingga RM600 sebagai balasan menawarkan kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital
SEREMBAN 26 Sept – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan empat kakitangan perubatan hospital awam petang semalam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM11,000.
Mereka disyaki menerima rasuah antara RM100 hingga RM600 sebagai balasan menawarkan kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital di negeri ini.
Sumber memberitahu, tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30-an hingga 50-an dipercayai ditahan antara jam 4 petang hingga 7 malam semalam di pejabat SPRM Negeri Sembilan ketika hadir memberi keterangan.
Mereka yang bertugas di hospital sama dipercayai menerima rasuah membabitkan 42 transaksi bank daripada dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan mayat antara 2022 hingga tahun ini.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
keempat-empat suspek akan dibawa untuk tujuan permohonan reman di Mahkamah Majistret Jenayah Seremban, hari ini. – Xklusif