BeritaJenayah

SPRM tahan reman eksekutif pemasaran dalam kes kontrak baja padi RM1.8 bilion

PETALING JAYA: Seorang eksekutif pemasaran sebuah syarikat yang ditawarkan projek perolehan baja padi telah direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengenai dakwaan penyelewengan dalam pemberian kontrak tersebut.

Bernama melaporkan bahawa Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.

Laporan itu memetik sumber yang mengatakan suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan untuk membantu siasatan ketika memberikan kenyataan di ibu pejabat SPRM lewat petang semalam.

Ini susulan laporan semalam yang disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, bahawa SPRM telah melancarkan siasatan terhadap dakwaan kewujudan kartel yang terlibat dalam kontrak pengedaran dan pembekalan baja padi yang dianugerahkan kepada sebuah organisasi di bawah sebuah kementerian.

Sumber SPRM berkata, agensi antirasuah itu telah menjalankan beberapa siri serbuan di dalam dan sekitar Kuala Lumpur, termasuk di ibu pejabat organisasi tersebut, kementerian dan sembilan syarikat yang didakwa terlibat dalam kartel berkenaan.

Sumber itu memaklumkan bahawa kontrak bernilai RM1.8 bilion telah dianugerahkan kepada organisasi tersebut untuk tempoh 30 bulan, dari tahun 2021 hingga 2023.

Tambah sumber itu, organisasi tersebut bertanggungjawab untuk menghasilkan baja padi dan mengedarkannya kepada petani di seluruh negara melalui pejabatnya di peringkat negeri.

Menurut laporan Bernama hari ini, satu sumber memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati syarikat berkenaan di Malaysia tidak aktif sejak lapan tahun lalu.

“Namun, syarikat induknya berpangkalan di Singapura. Syarikat tersebut dikatakan telah menerima kontrak pembekalan baja melibatkan 15,000 tan, bernilai sekitar RM60 juta, pada tahun 2022.

“Penganugerahan kontrak ini sangat mencurigakan kerana dipercayai dikeluarkan melalui arahan daripada pihak tertinggi dalam organisasi tanpa kelulusan lembaga dan diberikan secara rundingan terus atas alasan pembelian kecemasan,” kata sumber tersebut.

 

Artikel Berkaitan

Back to top button