Status ADUN Rembia: DUN Melaka tunggu surat rasmi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menunggu surat rasmi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis susulan penyertaannya ke dalam Pas, sebelum mengambil sebarang tindakan.
Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum berkata, setakat ini pihaknya belum dimaklumkan secara rasmi dan perbincangan berhubung perkara itu akan diadakan.
“Itu (sertai Pas) baru kenyataan mulut dia sahaja, dan saya belum terima apa-apa surat rasmi lagi.
“Dia kena tulislah surat (pemakluman) dekat saya,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini.
Pada Selasa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai Pas.
Katanya, kemasukan Muhamad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu sebelum DUN Melaka meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 pada 31 Julai 2023.
UMNO tahun lalu dilapor menggantung keahlian Muhamad Jailani selama enam tahun setelah didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Bakri, Johor.
Pada Mac 2020 lalu, Muhammad Jailani antara empat wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari, sehingga kerajaan PH Melaka tumbang.
Beliau kemudiannya dikatakan dipecat PKR sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkannya dipilih bertanding semula mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November 2021.
Sementara itu, Ahli Parlimen kerajaan mempersoalkan tindakan Pas mengumumkan penyertaan Muhamad Jailani ke dalam parti itu selepas lebih setahun permohonan wakil rakyat itu diterima.
Menurut Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, tindakan tersebut seolah satu penghinaan paling besar kepada Parlimen yang telah meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Antilompat Parti.
“Kalau sudah lompat, kenapa tak umum tahun lepas? Hari ini baru umum. Tunggu satu tahun, lepas itu datang ke Parlimen buat satu pengumuman nak bodohkan rakyat Malaysia.
“Jadi saya nak tanya adakah mereka dapat apa-apa kebenaran untuk buat sidang media macam ini yang telah menghina Parlimen Malaysia?,” soalnya ketika bangkit mencelah semasa perbahasan RUU Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Zhemin berkata, Pas juga didakwa bersifat hipokrit memandangkan Ahli-ahli Parlimen PN masih memakai reben putih di lengan sebagai tanda protes.
“Jangan pakai reben sambil kata nak umum ada ADUN yang lompat masuk parti Pas. Tindakan ini seperti cakap tak serupa bikin…. Hipokrit yang paling besar dan saya rasa kita tak boleh terima.
“Mereka (pembangkang) apabila ada Ahli Parlimen mereka yang bagi sokongan (tidak dikategorikan sebagai) lompat parti, tetapi mereka bantah dan pakai reben putih.
“Tetapi sekarang dengan terbuka mereka umum ada Yang Berhormat telah lompat parti dengan terbuka dan mereka kata tahun lepas lompat, bukan hari ini,” tambahnya.