Strategi pelaburan baharu LTAT jana pertumbuhan, sokong komitmen persaraan – Pakar Ekonomi
Perjanjian jual beli (SPA) yang ditandatangani Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah sejajar dengan strategi pelaburan semula jangka masa panjangnya selain memfokuskan peningkatan pulangan dan pertumbuhan kewangan yang mampan.
Pakar ekonomi, Prof. Dr. Geoffrey Williams berkata, perjanjian itu yang akan menjana dana menerusi aset warisan dilihat sebagai bahagian penting dalam komitmen LTAT untuk memperkukuh kapasiti pelaburan masa depan.
“Tumpuan utama strategi pelaburan semula adalah kepada sektor farmaseutikal dan biofarmaseutikal, dipacu oleh program GEAR-uP kerajaan, yang menggalakkan peralihan strategik dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), termasuk LTAT.
“Dana yang diperlukan untuk LTAT mengalihkan fokusnya ke arah peluang pelaburan berpendapatan tinggi khususnya dalam sektor nilai tambah seperti farmaseutikal disediakan menerusi langkah SPA ini.
“Ia sejajar dengan matlamat LTAT untuk menyokong persaraan perkhidmatan anggota tentera dalam jangka masa panjang,” katanya.
Tambah Williams, pencarum LTAT dijangka meraih manfaat melalui pendapatan pelaburan tinggi yang akan membantu mengembangkan saiz dana dan memenuhi obligasi persaraan masa depan dengan lebih terjamin.
“Ini penting kerana pesara perlu menyesuaikan dengan peningkatan kos sara hidup dan indikator gaji. Pada masa sama, peranan berterusan LTAT sebagai pemegang saham utama dalam Boustead Holdings Bhd. dijangka memperkukuh kedudukan pasaran syarikat itu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, LTAT kini sedang menyusun semula Boustead Holdings dengan meneliti aset bukan teras dan mengurangkan unit berprestasi rendah sebagai langkah untuk meningkatkan daya saing kumpulan itu.
Jelasnya, sebelum ini, LTAT berkata strategi itu akan memperkukuh lembaran imbangan dan kedudukan kewangan Boustead Holdings kerana penjualan itu akan menambah baik nisbah kadar hutang dan akan membolehkan Boustead Holdings memenuhi obligasi kewangan.
“Dana yang dijana daripada jualan itu, termasuk daripada Affin Bank, akan membolehkan LTAT mempelbagaikan pelaburan di samping mengekalkan 22.01 peratus kepentingan dalam Affin Bank, menunjukkan komitmen berterusan LTAT terhadap kumpulan.
“Kepelbagaian meliputi bidang hasil tinggi seperti biofarmaseutikal adalah sebahagian strategi LTAT untuk menjana pulangan lebih baik dengan risiko yang minimum. Dari sudut pandang ekonomi, pembelian saham dalam Affin Bank oleh kerajaan Sarawak dijangka merangsang rancangan pembangunan negeri itu yang lebih luas,” katanya.
Williams memberitahu, dengan menjadi pemegang saham terbesar, Sarawak berpotensi memanfaatkan bank itu sebagai alat pembangunan, melengkapkan Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak yang baru diwujudkan.
“Ini menjadikan Sarawak mempunyai bank pusat negerinya sendiri, yang boleh melaksanakan peranan penting dalam membiayai inisiatif pembangunan negeri,” katanya.
Jelasnya, perjanjian SPA itu dijangka membuka ruang dan peluang untuk kerjasama masa depan antara LTAT dan kerajaan Sarawak, dengan bidang berpotensi boleh melibatkan projek infrastruktur yang sejajar dengan rancangan pembangunan jangka masa panjang negeri, atau penjualan aset bukan teras seperti kampus University of Nottingham, yang sebelum ini ditarik balik.
Semalam, kerajaan Sarawak, melalui anak syarikat milik penuhnya, SG Assetfin Holdings Sdn Bhd, telah memeterai SPA saham Affin Bank dengan LTAT dan Boustead Holdings.
Justeru, kerajaan negeri Sarawak kini ialah pemegang saham terbesar Affin Bank, meningkatkan kepentingannya kepada 31.25 peratus daripada 4.81 peratus sebelum ini.
Semasa berucap pada majlis menandatangani perjanjian SPA saham Affin antara LTAT dan kerajaan negeri Sarawak, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata perjanjian itu dijangka memberi manfaat yang cukup besar kepada simpanan persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia di LTAT.
“Melalui kerjasama pelaburan strategik ini, dana persaraan anggota ATM akan diuruskan dengan lebih berkesan dan efisien, mentastikan pulangan yang lebih baik dan stabil,” katanya.
Beliau berkata langkah itu bukan sahaja meningkatkan kestabilan kewangan selepas persaraan malah juga memberi jaminan dalam menyusuri masa depan yang lebih cerah.
“Bagi pihak Kementerian Pertahanan, saya beri jaminan, meskipun jualan ini dilakukan, LTAT akan kekal menjadi sebahagian pemegang saham utama dalam Affin Bank.
“Sebagai pengurus dana persaraan, LTAT perlu mengutamakan kepelbagaian aset dan menguruskan pelaburannya dengan memberi tumpuan kepada kestabilan dana serta pulangan yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata majlis menandatangani perjanjian itu menandakan permulaan era kerjasama baharu, dan beliau optimis terhadap peluang strategik yang bakal dimanfaatkan bersama. – BERNAMA