Berita

Suami dianiaya sebab kejayaannya – Isteri Tun Daim

Isteri Tun Daim dan dua lagi anaknya dipanggil memberi keterangan di SPRM pada pagi tadi.

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mendakwa suaminya dianiayai disebabkan kejayaan beliau sebagai ahli perniagaan yang sangat berjaya sebelum menyertai kerajaan.

Toh Puan Naimah Khalid mendakwa, kejayaan Tun Daim kini dijadikan alasan untuk memfitnah nama baiknya dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.

“Suami saya dianiayai disebabkan kejayaan itu.

“Sebagai sebuah negara yang bebas dan mengamalkan demokrasi, tidak menjadi kesalahan untuk berjaya dalam bidang perniagaan dan industri sehingga mengecap kekayaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Beliau hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama dua anaknya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu rasuah membabitkan suaminya.

Tambah Naimah, kini sebuah kempen memutar belit maklumat dan persepsi dijalankan bagi memberi gambaran bahawa Tun Daim seorang yang korup semata-mata kerana sangat kaya.

“la sesuatu yang tidak munasabah dan tidak masuk akal, malah tiada ahli perniagaan yang berjaya di negara ini akan telepas daripada tuduhan sedemikian.

“Hari ini keluarga saya, esok lusa siapakah lagi akan menjadi mangsa? soalnya.

Bagaimanapun beliau turut menjelaskan pihaknya akan memberikan kerjasama kepada SPRM seperti yang dikehendaki undang-undang.

“Walaupun kami tetap mempersoalkan motif siasatan. Kami tahu kami akhirnya akan dibuktikan tidak bersalah,” jelasnya. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button