Berita

Suami orang tak mengaku cabul anak teman wanita

Lelaki sudah berkahwin itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di sebuah rumah di Muar kira-kira 8 pagi 8 Jan lalu

KUALA LUMPUR 15 Jan – Seorang pekerja pendawaian elektrik didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan 17 tahun yang juga anak teman wanitanya.

Tertuduh Azman Abdullah, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Abu Bakar Manat.

Lelaki sudah berkahwin itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di sebuah rumah di Muar kira-kira 8 pagi 8 Jan lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin, mengambil kira faktor keselamatan mangsa disebabkan tertuduh dilaporkan kerap ke rumah ibu remaja itu, selain pertuduhan membabitkan kesalahan serius.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan ikat jamin atas alasan mengalami masalah kesihatan dan perlu mendapatkan rawatan.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Feb untuk sebutan semula kes, serahan dokumen serta lantikan peguam. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button