
KUALA LUMPUR 31 Jan. – Seorang wanita cedera selepas dipukul suaminya kerana tidak berpuas hati mangsa tidak membantunya membuat kerja rumah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku pada 29 Januari lalu kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Semasa mangsa berada di rumah, berlaku pertengkaran dengan suaminya. Suspek kemudian telah bertindak merosakkan komputer riba milik mangsa dan memukulnya hingga mengalami kecederaan di bahagian tangan.
“Motif kejadian kerana suspek berang mangsa tidak membantunya membuat kerja rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Mohd Azam, satu tangkapan telah dibuat pada pukul 6.20 petang semalam di Pandan Perdana.
Jelasnya, hasil siasatan terhadap suspek yang tidak bekerja itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Suspek direman hingga 2 Februari dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya. — Xklusif