Berita

Subsidi bersasar baik untuk rakyat – Anwar

Kerajaan memutuskan mengekalkan subsidi yang sama bagi 90 peratus pengguna melalui pendekatan bersasar

KUALA LUMPUR 22 Dis – Dasar subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan adalah untuk kebaikan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas bersama kira-kira 1,500 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara, di sini hari ini yang turut disertai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari.

Ditanya mengenai pelasaran subsidi berkait tarif elektrik yang dijangka diumumkan petang ini, Perdana Menteri menjawab: “Semua, kalau pengumuman tentang penyasaran subsidi itu baik untuk rakyat”.

Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Oktober lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi.

Bagaimanapun, pada masa sama, kerajaan memutuskan mengekalkan subsidi yang sama bagi 90 peratus pengguna melalui pendekatan bersasar yang dapat menjimatkan lebih RM4.6 bilion daripada unjuran subsidi elektrik sebanyak RM20 bilion setahun.

Tahun ini, kerajaan menganggarkan keseluruhan subsidi yang dikeluarkan untuk rakyat di seluruh negara, termasuk elektrik, minyak dan makanan mencecah RM81 billion.

Anwar sebelum ini berkata, walaupun angka itu dilihat tinggi, mengurangkan jumlah subsidi tanpa melihat kepada keperluan rakyat bukan satu pilihan kepada kerajaan bagi memastikan rakyat tidak terbeban, terutama dengan kos sara hidup masa kini.

Justeru, beliau seperti dilaporkan media sebelum ini, menegaskan rasionalisasi subsidi yang sedang dilaksanakan kerajaan adalah penting dalam memastikan rakyat dapat dibantu dan ekonomi negara sentiasa kekal ampuh.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri lagi, dengan jumlah subsidi yang tinggi, tidak ada negara mampu bertahan, sekali gus akan ada tindakan untuk mengurangkannya.

Mengenai laporan 32 syarikat konsesi tol lebuh raya membantah tindakan kerajaan menganugerahkan secara langsung projek Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) kepada syarikat swasta, Anwar memberi jaminan, ia akan dibuat mengikut proses tender dan tatacara perolehan biasa.

“Akan melalui proses biasa, tidak ada asas untuk menganggap proses itu akan melalui tender yang dirundingkan, tidak. Kami perlu melalui proses yang betul, telus kerana kita sudah menjelaskannya dengan jelas,” katanya.

Laporan media memetik sumber sebelum ini, mendakwa kerajaan menandatangani ‘perjanjian pelantikan’ dengan syarikat berkaitan, dikenali sebagai YTL Corporation Bhd pada 17 November lalu dan memberikan projek bernilai RM3.46 bilion tanpa berunding dengan syarikat konsesi. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button