Subsidi tunai B40, M40 jika harga telur, ayam naik
Kerajaan disarankan memberi subsidi tunai ayam dan telur kepada B40 dan M40.

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kerajaan disaran memberikan subsidi tunai ayam dan telur kepada golongan B40 dan M40, bagi melindungi golongan itu daripada kesan kenaikan harga dua bahan mentah berkenaan.
Selain itu, bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kerajaan juga perlu melaraskan semula harga siling runcit ayam dan telur mengikut kenaikan serta penurunan harga pasaran komoditi dunia.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, langkah pelarasan harga siling ayam dan telur itu adalah penyelesaian jangka panjang bagi menangani kekurangan bekalan dua bahan mentah itu sebagai persediaan harga komoditi dunia bagi makanan ayam meningkat lagi.
Katanya, punca kepada masalah bekalan ayam dan telur di negara ini disebabkan kenaikan harga komoditi dunia yang mana sumber makanan ayam terutama jagung dan kacang soya yang diimport naik berkali ganda.
Johari berkata, sebelum ini kerajaan tidak pernah membelanjakan sebarang subsidi kepada industri ayam dan telur kerana Malaysia boleh mencapai kadar sara diri yang mencukupi bagi bahan mentah utama itu serta industri berkenaan tidak pernah mempunyai sebarang masalah.
“Ketika ini kerajaan membelanjakan subsidi kepada penternak sebanyak RM3.8 bilion hanya untuk subsidi ayam dan telur, tetapi bekalan tetap berdepan masalah.
“Satu ketika dulu, pengeluaran ayam sangat stabil iaitu lebih 100 peratus dan telur pula mencapai 110 peratus sehingga industri ayam dan telur Malaysia berjaya mengeksport ke pasaran luar negara.
“Jadi, untuk penyelesaian jangka panjang, saya mencadangkan kerajaan melaraskan semula harga siling runcit ayam dan telur mengikut kenaikan serta penurun harga pasaran komoditi dunia sebagai persediaan peningkatan harga komoditi membabitkan makanan ayam yang kebanyakannya diimport.
“Namun, jika kerajaan melaraskan kenaikan harga siling runcit ayam dan telur mengikut harga pasaran, golongan B40 dan pertengahan M40 yang terjejas perlu dijaga dengan memberikan subsidi tunai ayam dan telur melalui ‘pindahan tunai’ terus kepada mereka, dengan jumlah subsidi diberi perlu mengikut penurunan dan kenaikan harga siling runcit ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan dibuat di laman X, di sini, semalam.
Ia susulan perbahasannya berhubung isu sama di Dewan Rakyat, kelmarin.
Sementara itu, Johari yang juga Naib Presiden UMNO berkata, impak kaedah pelarasan harga siling runcit dengan mengikut kenaikan dan penurunan harga pasaran bebas komoditi dunia serta sokongan pemberian subsidi terus kepada golongan sasar, boleh memberi kesan kestabilan kepada industri ayam dan telur secara keseluruhan.
Katanya, syarikat sektor ayam dan telur juga boleh beroperasi dengan lancar dan tidak berisiko terpaksa ditutup.
“Kerajaan boleh mendapatkan cukai hasil keuntungan syarikat disebabkan perkembangan industri ayam dan telur yang sihat susulan pelarasan harga siling.
“Pendapatan kerajaan juga boleh diagihkan dengan memperuntukkan subsidi ayam dan telur terus kepada golongan B40 dan pertengahan M40 melalui ‘pindahan tunai’ selain negara akan memperoleh semula kadar 100 peratus kadar sara diri.
“Negara juga tidak perlu bergantung kepada bekalan import ayam dan telur, selain dapat membangun serta mengukuhkan kedudukan keterjaminan makanan bagi industri ayam dan telur, malah mampu mengeksport ke pasaran luar, sekali gus meyakinkan negara pengimport untuk membeli bekalan dari Malaysia,” katanya. — Xklusif