Politik

Suka Menanti kekal milik PN

Ketua Penerangan PKR Kedah, Datuk Zamri Yusuf sebelum ini mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti, 12 Ogos lalu

ALOR SETAR 18 Okt – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membatalkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan Ketua Penerangan PKR Kedah, Datuk Zamri Yusuf untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti, 12 Ogos lalu.

Hakim Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan dua responden iaitu Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Dewan Negeri Suka Menanti dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap petisyen itu, sekali gus mengekalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Dzowahir Ab Ghani di kerusi berkenaan pada PRN.

Peguam Dr Mohamed Sofee Razak yang mewakili Zamri ketika dihubungi berkata mahkamah yang membuat keputusan itu secara dalam talian mengarahkan Zamri, yang sebelum ini penyandang kerusi DUN Suka Menanti membayar kos RM15,000 kepada responden.

Responden diwakili antaranya Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, Sallehuddin Ali dan Nur Idayu Amir.

Pada PRN lalu, Dzowahir mewakili PN menang dengan majoriti 8,245 undi selepas mendapat 18,396 undi manakala Zamri yang mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh 10,151 undi dalam pertembungan satu lawan satu di kerusi DUN Suka Menanti.

Petisyen pilihan raya itu difailkan pada 18 September lalu atas dakwaan terdapat keraguan, kesilapan dan kecacatan jumlah undi dalam 18 keping Borang 14 yang memberi kesan besar kepada keputusan PRN.– BERNAMA

Artikel Berkaitan

Back to top button