Sukan Asia: Eain Yow sumbang emas kelima
Pingat emas sah menjadi milik Malaysia selepas Eain Yow menoktahkan kemenangan pada set penentuan dengan kemenangan 11-7 dalam tempoh 70 minit

HANGZHOU, 5 Okt – Pingat emas kelima buat kontinjen negara di Sukan Asia 2022 terus dituai menerusi skuasy, kali ini menerusi perseorangan lelaki negara Ng Eain Yow yang menewaskan pemain dari India, Ghosal Saurav pada final acara perseorangan lelaki, sebentar tadi.
Kejayaan diraih Eain Yow di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou itu membolehkan juara Asia itu membalas dendam ke atas Ghosal yang sebelum ini menewaskannya 3-1 pada separuh akhir acara berpasukan lelaki, sebelum ini.
Pada aksi terbabit, Ghosal yang menghuni kedudukan ke-19 terlebih dahulu membuka aksi menerusi kemenangan 11-9 ke atas Eain Yow sebelum dibalas pemain negara dengan keputusan sama pada set kedua.
Terikat 1-1, Eain Yow mendapat kelebihan apabila menang mudah pada set ketiga 11-5 dan kemenangan itu jelas menyuntik semangat pemain ke-18 dunia itu untuk memasuki set keempat.
Pingat emas sah menjadi milik Malaysia selepas Eain Yow menoktahkan kemenangan pada set penentuan dengan kemenangan 11-7 dalam tempoh 70 minit.
Ini pingat emas ketiga daripada sukan skuasy selepas mereka menuai emas dalam acara berpasukan wanita dan perseorangan wanita menerusi S Sivasangari sebelum ini. – Harian Metro