Berita

Sukan mesti bebas unsur perkauman, politik – Hannah

Hannah Yeoh mengecam keras ucapan berbaur perkauman dan pertikaian agama.

PUTRAJAYA, Feb 13 — Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam keras ucapan berbaur perkauman dan pertikaian agama dibangkitkan bekas pemain badminton negara yang tular di media sosial.

Beliau menerusi ciapan di Twitter hari ini memaklumkan semakan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendapati individu terbabit bukan lagi atlet negara, sebaliknya bekas pemain pelapis percubaan BAM pada 2014 dan kini tidak menetap di Malaysia.

“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau sudah meminta maaf.

“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia.

“Saya ulangi pendirian, sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik. Semua atlet negara adalah sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing,” katanya.

Ciapannya itu susulan kekesalan orang ramai terhadap kenyataan rasis dibuat individu terbabit yang tular sejak dua hari lalu selepas perkongsian video dibuat seorang pemilik akaun di TikTok.

Pemilik akaun memaklumkan menerusi terjemahan, individu terbabit dikenali Bong Guang Yik yang menjadi jurulatih badminton di China didakwa berkata, dalam Malaysia Open (Terbuka Malaysia) tiada pemain Malaysia ke pusingan akhir.

“Yang ini masalah pemain atau BAM. Masalah yang paling teruk ialah BAM. Saya rasa ini sebab Melayu yang jadi management (pengurusan) BAM,” katanya.

Sebelum ini pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn digantung daripada menyertai mana-mana aksi antarabangsa, termasuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023, Mei ini susulan memuat naik ciapan di Twitter yang berbaur perkauman berhubung konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman pada 28 Januari lalu.

Sementara itu, BAM dalam kenyataanya turut video berbaur perkauman yang dimuat naik bekas pemain itu yang kini menetap di China.

“BAM mengambil tindakan dan menghantar satu surat aduan terhadap persatuan badminton China (CBA).

“Komen perkauman tidak boleh diterima masyarakat terutama dalam negara ini dan tidak boleh dipandang remeh.

“Kami mengecam apa jua bentuk diskriminasi dan akan meminta CBA untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu itu,” katanya.

Tambahnya lagi, individu bersifat rasis tidak sepatutnya dilantik sebagai jurulatih khususnya melibatkan sukan yang mempunyai jutaan peminat berbilang kaum dan agama.

Terdahulu, tular rakaman video yang memaparkan bekas pemain badminton negara  mengeluarkan berbaur rasis berhubung sistem dalam BAM.

Artikel Berkaitan

Back to top button