Berita

Sultan Johor dipilih Yang di-Pertuan Agong ke-17

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pelantikan selama lima tahun itu berkuat kuasa 31 Januari 2024

KUALA LUMPUR 27 Okt – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pelantikan selama lima tahun itu berkuat kuasa 31 Januari 2024.

“Menjunjung titah, saya memaklumkan, Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober (hari ini) bersetuju mengisytiharkan, Sultan lbrahim, Sultan Johor dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVll, selama tempoh lima tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.

“Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama lima tahun mulai dari tarikh sama.

“Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang berlangsung hari ini, dipengerusikan Sultan Terengganu dan dihadiri semua Raja-raja kecuali Raja Perlis dan Sultan Kelantan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja ini dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah dimaklumkan,” katanya.

Pelantikan baharu itu menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024.

Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button