Berita

Sumbangan Tunai Rahmah naik RM10 bilion

Anwar berkata keperluan tahun ini dijangka mencecah RM81 bilion.

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah akan dinaikkan kepada RM10 bilion daripada RM8 bilion pada Belanjawan 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut dapat dilakukan menerusi penyasaran semula subsidi secara berfasa mulai tahun hadapan.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, Belanjawan 2023 tahun ini memperuntukkan RM64 bilion untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan.

Namun begitu, kata beliau, keperluan tahun ini dijangka mencecah RM81 bilion.

Beliau berkata, peningkatan itu adalah akibat langkah kerajaan mengekalkan harga barangan bersubsidi untuk rakyat kendatipun berdepan dengan kenaikan luar jangka harga komoditi dunia.

“Sekali pun barangan bersubsidi membantu rakyat dalam meminimumkan kos sara hidup tetapi hakikatnya subsidi lebih memanfaatkan golongan kaya dan harga yang murah pula telah meningkatkan ketirisan dan penyeludupan ke luar negara.

“Malah, subsidi turut dihirup oleh lebih 3.5 juta orang asing.

“Hasil penjimatan subsidi ini sebahagiannya akan disalurkan terus untuk meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Belanjawan 2024 Malaysia MADANI dibentangkan itu menyaksikan sebanyak RM393.8 bilion diperuntukkan – nilai tertinggi berbanding bajet-bajet yang dinyatakan sebelum ini. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button