Berita

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) ganti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bermula esok

Bantuan itu juga membabitkan sejumlah RM1.67 bilion yang akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR

KUALA LUMPUR, Jan 16 – – Seramai 8.7 juta rakyat Malaysia akan menerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang juga bantuan tunai pertama oleh kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bantuan itu juga membabitkan sejumlah RM1.67 bilion yang akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR secara berperingkat bermula esok.

Anwar berkata, kerajaan perpaduan menekankan pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat susah terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas.

Selaras dengan itu katanya, kerajaan telah memperkenalkan konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada initiatif-initiatif membantu golongan kurang berkemampuan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

“Maka, program bantuan tunai untuk B40 di bawah Kementerian Kewangan dijenamakan semula kepada STR dan akan terus ditambah baik.

“Saya telah memutuskan supaya STR Fasa 1 untuk golongan B40 diawalkan kepada bulan Januari 2023 berbanding perancangan awal pada bulan Mac 2023 bagi meringankan beban sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan media di sini, harini.

Pembayaran STR Fasa 1 kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR secara berperingkat mulai 17 Januari 2023 (Selasa) seperti pada jadual di bawah.

Penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tarikh yang sama.

Penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 17 Januari 2023.

Semakan status pembayaran akan dibuka mulai 17 Januari 2023 dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Artikel Berkaitan

Back to top button