Surau Al-Barakah Bank Rakyat terima Anugerah Khas Organisasi Maulidur Rasul

Surau Al-Barakah Bank Rakyat baru-baru ini menerima Anugerah Khas Organisasi sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan tahun 2024 atas kecemerlangan dalam sumbangan dan peranannya terhadap kemaslahatan ummah dan pembangunan syiar Islam.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Mokhtar kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi, Bank Rakyat, Encik Nor Haimee Zakaria selaku Pengerusi Jawatankuasa Surau Al-Barakah Bank Rakyat dalam majlis yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurut Nor Haimee, pengiktirafan tersebut adalah hasil daripada impak sosial yang positif terhadap komitmen berterusan Surau Al-Barakah Bank Rakyat dalam mengutamakan perkhidmatan pengurusan hal ehwal Islam terbaik kepada masyarakat khususnya di Kuala Lumpur menerusi pelaksanaan pelbagai aktiviti pengimarahan surau dan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat.
“Bank Rakyat amat berbesar hati atas impak positif dan sumbangan yang disalurkan kepada pembangunan komuniti saban tahun dan Bank kekal komited membangunkan insan dan masyarakat ke arah yang lebih progresif dan bertamadun tinggi, seiring dengan mandat Bank dalam menyediakan penyelesaian perkhidmatan dan produk perbankan patuh Syariah serta kemudahan kewangan yang berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya.
Antara inisiatif Surau Al-Barakah Bank Rakyat termasuk pelaksanaan Program Ziarah Barakah yang memperuntukkan sebanyak RM150,000 sumbangan tahunan kepada lebih 500 keluarga daripada golongan fakir miskin di seluruh negara. Selain itu, inisiatif Tabung Jariah al-Barakah dengan kutipan sumbangan berjumlah RM132,289 yang disumbangkan kepada empat sektor utama iaitu kebajikan, kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi.
“Penghargaan terhadap usaha Surau Al-Barakah Bank Rakyat ini memberi dorongan dan galakan kepada kami untuk terus merangka pelbagai program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada pembangunan ummah dan masyarakat setempat sebagai pusat keilmuan dan institusi kecemerlangan umat Islam,” kata Nor Haimee lagi.
Bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Surau Al-Barakah dan ahli kariah surau atas segala khidmat bakti dan jasa yang dicurahkan bagi memastikan semua inisiatif surau dapat dilaksanakan dengan baik dan jayanya.