Berita

Suspek penembak Trump terbunuh, kata Perkhidmatan Rahsia

SUSPEK yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah pentas, mencederakan bekas Presiden Donald Trump semasa perhimpunan kempennya di Butler, Pennsylvania, semalam telah ditembak mati.

“Anggota Perkhidmatan Rahsia AS telah ‘meneutralkan’ penembak berkenaan yang kini telah meninggal dunia,” kata Ketua Komunikasi Perkhidmatan Rahsia AS, Anthony Guglielmi di X.

Beliau berkata, seorang penonton terbunuh, manakala dua lagi cedera parah.

Menurut beliau, penembak itu melepaskan tembakan ke arah pentas dari kedudukan tinggi di luar lokasi perhimpunan.

Kejadian itu sedang disiasat dan Perkhidmatan Rahsia telah memaklumkan secara rasmi kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Guglielmi berkata, Perkhidmatan Rahsia AS telah bertindak balas dengan cepat dengan langkah perlindungan dan bekas presiden berada dalam keadaan selamat serta sedang dinilai.

Agensi Anadolu melaporkan Trump kelihatan cedera dan dilihat berlumuran darah pada telinga kanannya ketika beliau dipindahkan dari pentas, menurut rakaman media sosial.

Sementara itu, Trump dilaporkan “dalam keadaan baik” selepas kejadian itu.

Telinga kanannya berlumuran berdarah ketika beliau dibawa keluar dari pentas, menurut rakaman media sosial.

Agensi Anadolu melaporkan jurucakap Trump, Steven Cheung berkata, bekas presiden itu “dalam keadaan baik.”

“Trump mengucapkan terima kasih kepada pihak penguatkuasa undang-undang dan petugas kecemasan atas tindakan pantas mereka semasa kejadian keji ini.

“Beliau dalam keadaan baik dan sedang diperiksa di kemudahan perubatan tempatan,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Kejadian tembakan itu sedang disiasat sebagai kemungkinan cubaan membunuh, lapor CNN, memetik pegawai penguatkuasa undang-undang.

Perkhidmatan Rahsia berkata, ia telah melaksanakan langkah perlindungan dan bekas presiden itu berada dalam keadaan selamat, menurut laporan itu.

“Ini kini merupakan penyiasatan Perkhidmatan Rahsia yang aktif dan maklumat lanjut akan dikeluarkan apabila tersedia,” katanya.

Presiden Joe Biden berkata, beliau telah diberi taklimat mengenai kejadian tembakan itu.

“Saya bersyukur mendengar beliau selamat dan berada dalam keadaan baik. Saya berdoa untuk beliau dan keluarganya serta semua yang berada di perhimpunan itu, sementara kita menunggu maklumat lanjut.

“Saya dan Jill berterima kasih kepada Perkhidmatan Rahsia kerana memastikan keselamatannya. Tiada tempat untuk keganasan seperti ini di Amerika. Kita mesti bersatu sebagai satu negara untuk mengecamnya,” katanya.

Biden dijangka menyampaikan ucapan tidak lama lagi.

Insiden berkenaan mendapat pelbagai reaksi seluruh dunia politik dan perniagaan dengan Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro, seorang Demokrat, mengecam kejadian tembakan itu.

“Keganasan yang disasarkan kepada mana-mana parti politik atau pemimpin politik adalah sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

Bagi bilionair Elon Musk mengumumkan beliau menyokong Trump sebagai presiden.

“Saya menyokong sepenuhnya Presiden Trump dan berharap beliau pulih dengan cepat,” tulisnya di X. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Back to top button