Berita

Syarikat guna muka Dr Noor Hisham nafi kelirukan orang ramai

Syarikat itu hanya menggunakan keratan akhbar dan artikel yang memetik taklimat Dr Noor Hisham.

KUALA LUMPUR 23 Nov. – Pengeluar minuman herba, Koong Woh Tong Sdn Bhd, menegaskan syarikat itu hanya menggunakan keratan akhbar dan artikel memetik taklimat media oleh Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebelum ini selaku Ketua Pengarah Kesihatan.

Koong Woh Tong dalam kenyataannya, berkata keratan akhbar dan artikel itu dilaporkan kepada orang ramai bahawa ubat herba bukan rawatan khusus untuk COVID-19, sebaliknya bantuan proses pemulihan pesakit virus berkenaan.

Syarikat itu menegaskan tidak sesekali berniat untuk menggunakan sebarang imej dan nama mana-mana individu untuk faedah komersial atau keuntungan.

Ia susulan Noor Hisham pada Sabtu lalu, memuat naik kenyataan di media sosial yang mendakwa taktik pemasaran tidak bertanggungjawab oleh syarikat itu dalam menggunakan nama dan imejnya untuk menipu orang ramai dan berhasrat membawa perkara terbabit ke mahkamah.

“Selanjutnya, syarikat tetap berpegang teguh bahawa tidak pernah cuba mengelirukan orang ramai supaya percaya bahawa produk kami disokong Dr Noor Hisham atau orang lain.

“Adalah amat dikesalkan bahawa isu ini tersebar kerana kami tidak pernah berhasrat untuk meraih apa-apa faedah komersial daripada penggunaan keratan akhbar dan artikel.

“Demi kepentingan orang ramai, ingin dijelaskan bahawa produk kami tidak pernah pada bila-bila masa disokong Dr Noor Hisham atau mana-mana tokoh masyarakat terkemuka dan dengan itu, ia tiada kaitan dengan mereka.

“Dengan penuh berhati-hati, kami sudah mengambil langkah segera untuk mengeluarkan semua keratan akhbar dan artikel dari kedai yang memaparkannya,” katanya.

Dalam ciapan di laman X, Dr Noor Hisham berkata, satu jenama jeli dan teh herba traditional Cina, didakwa menggunakan nama dan imejnya dalam meningkatkan jualan mereka.

Dakwanya, tindakan itu adalah salah serta taktik pemasaran sebegitu dianggap tidak bertanggungjawab kerana bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.

Dalam ciapan berkenaan, bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu turut berkongsi gambar yang menggunakan imejnya pada produk terbabit.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham ketika menerajui Kementerian Kesihatan memaklumkan ketika pandemik COVID-19, pakar dari China mencadangkan untuk membuat rawatan tambahan untuk membuat akupuntur serta ubat herba bagi mencegah jangkitan serta mempercepatkan pemulihan selepas dijangkiti virus terbabit.

Berikutan itu, pemilik produk itu menggunakan keratan akhbar berkaitan isu berkenaan dan mengaitkannya dengan jenama terbabit. — BH

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button