Syarikat usaha sama Malayan Flour Mills Bhd, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd, telah memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Tribunal Rayuan Persaingan yang menolak permohonan penangguhan denda sebanyak RM70 juta.
Dalam pemfailan bursa hari ini, Malayan Flour Mills memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi telah menetapkan pendengaran bagi permohonan kebenaran tersebut pada 2 Januari.
Syarikat memaklumkan bahawa Dindings Poultry telah memfailkan permohonan pada 16 Disember terhadap keputusan tribunal tersebut dan untuk memohon penangguhan pembayaran denda.
Pada Disember tahun lalu, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengenakan denda hampir RM416 juta terhadap lima pengeluar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan membentuk kartel penetapan harga dan menaikkan harga mereka secara serentak.
Selain Dindings Poultry, syarikat lain yang terlibat ialah Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd, FFM Bhd, Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd, dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd.
MyCC menyatakan siasatannya menemui bukti bahawa syarikat-syarikat tersebut membuat kenaikan harga makanan ayam yang sama dari Januari 2020 hingga Jun 2022.
Ini ditambah dengan penemuan bahawa syarikat-syarikat itu telah menggunakan strategi terancang untuk mencipta ilusi kenaikan kos makanan ayam yang disebabkan oleh peningkatan harga bahan mentah.
Menurut The Edge, Leong Hup Feedmill dan FFM juga telah memfailkan semakan kehakiman selepas permohonan mereka untuk penangguhan pembayaran denda yang dikenakan oleh MyCC ditolak.
Malayan Flour Mills menyatakan bahawa MyCC telah memfailkan permohonan pada 18 Disember untuk menguatkuasakan denda terhadap Dindings Poultry mengikut Seksyen 42 Akta Persaingan 2010.
Syarikat itu akan mengambil tindakan yang perlu dan sesuai untuk mencabar permohonan yang difailkan oleh MyCC, katanya.