Syarikat penerbangan rugi jutaan ringgit, industri tuntut penjelasan Microsoft – Tony Fernandes
Gangguan IT global yang mencetuskan kegagalan sistem serta huru-hara dalam urusan orang ramai menyebabkan banyak syarikat penerbangan kehilangan pendapatan mencecah jutaan, kata CEO Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.
Beliau menerima permohonan maaf CrowdStrike, tetapi menekankan syarikat penerbangan masih menunggu penjelasan Microsoft mengenai insiden itu.
Syarikat teknologi tidak memiliki empati. Semasa kami berdepan Covid-19, mereka tidak bertimbang rasa. Sekarang mereka mempunyai masalah dan mengharapkan kami perlu faham. Syarikat penerbangan memerlukan jawapan dan ganti rugi, katanya dalam catatan LinkedIn.
CrowdStrike Holdings Inc, syarikat teknologi keselamatan siber Amerika Syarikat yang berpangkalan di Austin, Texas, menyediakan perlindungan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.
Berdasarkan huru-hara semalam, Fernandes menekankan kepentingan untuk belajar dan berkembang daripada situasi itu.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai gangguan itu, beliau berkata, keadaan nampaknya stabil pada hari kedua gangguan IT global yang merencatkan operasi AirAsia di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Tetapi, kami tidak leka. Kami bersedia untuk sebarang gangguan selanjutnya,” katanya.
Syarikat penerbangan itu menguruskan operasi secara manual, bermula daripada daftar masuk, mencetak pas kemasukan sehingga penghantaran bagasi, dengan lebih 100 sukarelawan Allstar membantu di lapangan.
“Ini mengingatkan saya pada zaman awal kami 23 tahun lepas, apabila semuanya dilakukan secara manual. Kami berbangga kerana telah meminimumkan pembatalan penerbangan disebabkan ketangkasan kami beralih kepada operasi manual dan komitmen ikhlas kami berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Walaupun terdapat beberapa kelewatan, Fernandes memberi jaminan AirAsia berazam menerbangkan semua orang dengan selamat ke destinasi mereka.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada tetamu kami bersabar dan menghargai usaha kami sepanjang ujian ini,” katanya.
AirAsia meneruskan operasi daftar masuk dalam taliannya pada 2 petang tadi berikutan masalah IT global yang bermula petang semalam.
Menjawab catatan Fernandes, pelawat di platform sosial berkenaan, Muhammad Rafay Ahmed Khan mengulas: “Baru sahaja menghantar isteri dan anak saya di klia2, semuanya kelihatan kembali normal sekarang. Perkhidmatan yang hebat oleh AirAsia, kudos Tony Fernandes.”
Seorang lagi pengguna, Kushagra Varshney memuji pengurusan krisis AirAsia dengan berkata: “Menakjubkan melihat pasukan anda menguruskan krisis ini dengan empati dan komitmen.” Juga, perkara penting yang dibangkitkan Tony Fernandes – apabila kegagalan sistem IT menyebabkan kerugian kewangan serta mengganggu kehidupan orang ramai, apakah ganti rugi yang disediakan syarikat IT ini?
Umar Dani Mochlis Moktar berkata: “Tindakan mengagumkan daripada pasukan anda. Insiden ini membuatkan kami tertanya-tanya betapa mudahnya satu sistem boleh mengganggu seluruh dunia.”
Semalam, institusi utama, termasuk syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas akibat gangguan IT global dikaitkan dengan CrowdStrike. – BERNAMA