Berita

Syed Saddiq tak mahu jadi ‘pak turut’

Syed Saddiq membuat keputusan untuk keluar daripada blok kerajaan.

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan beliau keluar daripada blok kerajaan bukan kerana mahukan jawatan.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Muar itu berkata, tindakan itu dilakukan kerana mahu melawan amalan ‘ganjaran politik’ yang berleluasa dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Menurutnya, perkara itu boleh dilihat apabila ramai ahli politik mendapat jawatan dalam banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara.

“Kalau saya mahu jawatan dan keselesaan, lebih baik saya play safe dan membisukan mulut. Jadi ‘Pak turut’. Itu bukan saya.

“Saya lawan kerana saya tidak mahu Malaysia menormalisasikan rasuah. Jika saya mementingkan diri, saya akan ‘diam’ sejak 2015,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, Syed Saddiq akan ditempatkan di blok pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat mulai hari ini susulan keputusannya untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau telah menerima surat daripada Syed Saddiq berhubung permohonan untuk mengubah tempat duduk  di dalam Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, beliau telah melepaskan peluang untuk mendapatkan Ijazah Sarjana di Universiti Oxford sebanyak dua kali dengan nilai biasiswa sebanyak RM500,000.

Katanya, beliau juga telah kehilangan pendapatan sebagai pensyarah sambilan, pegawai penyelidik dan banyak lagi kerana lantang bersuara menentang perkara-perkara salah yang dilakukan kerajaan.

Syed Saddiq turut mendedahkan yang beliau ditawarkan jawatan menteri dan jawatan dalam GLC semasa Langkah Sheraton pada 2020, yang mana kesemua tawaran itu ditolak olehnya atas faktor prinsip.

“Saya konsisten dulu, kini dan pada masa hadapan. Saya berpolitik untuk bangunkan Malaysia. Bela rakyat. Cari Solusi.

“Bukan seperti segelintir yang sanggup menipu rakyat terang terang. Tangan kiri lawan rasuah, tangkan kanan bebaskan perasuah,” katanya. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button