SYNTEC labur RM78 juta untuk pembangunan fasiliti di Selangor

Syntec Technology (TWSE: 7750), penyedia penyelesaian pembuatan pintar dari Taiwan telah melancarkan pembangunan Fasa II fasiliti Syntec Intelligence Technology Sdn. Bhd. di Malaysia, dengan komitmen pelaburan melebihi RM78 juta bagi menyokong permintaan luar negara yang kian meningkat serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan global.
Pelaburan baru ini didorong oleh peningkatan permintaan daripada industri mesin alat (machine tool), khususnya dari India. Ia juga merupakan sebahagian daripada strategi kapasiti berteraskan pelanggan Kumpulan Syntec ketika landskap pembuatan global mengalami perubahan yang pesat. Pelaburan ini akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan fleksibiliti operasi di samping mengurus risiko pelaksanaan dan geopolitik.
“Pengembangan operasi kami di Malaysia merupakan langkah strategik untuk menyokong peningkatan permintaan di seluruh ASEAN dengan lebih berkesan,” kata Otis Siah, Pengarah Global Syntec Intelligence. “Ini bukan sekadar perluasan kilang, tetapi sebuah nod penting dalam operasi global kami. Ia bakal mempercepatkan tindak balas serta memperkukuh kerjasama dengan rakan kongsi serantau.”

Dijadualkan siap pada awal 2027, kemudahan baharu ini akan menyokong pembuatan dan ujian pengawal industri, selain pemasangan dan pengesahan sistem lengan robotik pintar.
Apabila beroperasi sepenuhnya, ia dijangka menjadi hab pembuatan luar negara utama yang menyokong pasaran di India, Turki, ASEAN dan Amerika Syarikat, sekali gus memendekkan tempoh penghantaran serta meningkatkan keupayaan bekalan tempatan.
Pengarah Bebas Syntec Technology, Grant Kuo, berkata projek ini mencerminkan komitmen jangka panjang Syntec. “Dengan memperkukuh kehadiran pembuatan di luar negara, kami bukan sahaja meningkatkan fleksibiliti rantaian bekalan malah meletakkan kumpulan ini pada kedudukan yang kukuh untuk meraih pertumbuhan mampan di pasaran berpotensi tinggi,” katanya.

Majlis pecah tanah projek ini telah dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, Timbalan Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, James JM Buu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Selangor, Sherulanuar Abd. Karim serta kepimpinan Dewan Perniagaan Taiwan di Malaysia (TWCHAM).
Projek ini dibangunkan dengan kerjasama syarikat pembinaan tempatan, Pembinaan Tuju Setia Sdn. Bhd., dan akan menggabungkan reka bentuk bangunan hijau, kaedah pembinaan cekap tenaga serta perancangan kilang pintar selaras dengan komitmen ESG Kumpulan Syntec.
Pengembangan di Malaysia ini merupakan sebahagian daripada strategi penempatan global jangka panjang yang berteraskan pelanggan Syntec bagi memastikan pertumbuhan yang stabil dan mampan di masa hadapan.








