Tak boleh pohon notis merah Interpol tahan The 1975
Kumpulan pop rock, The 1975 yang berkelakuan tidak senonoh di pentas Festival Good Vibes 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Jumaat lalu.
KUALA LUMPUR 25 Julai – Kumpulan pop rock, The 1975 yang berkelakuan tidak senonoh di pentas Festival Good Vibes 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Jumaat lalu didapati pulang ke negara mereka selepas enam jam membuat persembahan di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan, tempoh yang singkat itu punca pihaknya gagal mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan.
Beliau berkata demikian menjawab dakwaan dari beberapa pihak yang mendakwa polis lambat mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan dalam kes tersebut.
“Sebenarnya insiden ini berlaku pada 21 Julai pukul 11.30 malam, kita difahamkan selepas insiden berkenaan, konsert terbabit dihentikan dan kumpulan ini berlepas pulang ke United Kingdom (UK) pukul 5.30 pagi.
“Jadi dalam tempoh enam jam sahaja mereka sudah berlepas pulang ke UKdan laporan polis pertama yang diterima kami adalah pada keesokan hari iaitu pukul 2 petang, jadi kita tidak sempat mengambil tindakan kerana mereka sudah berlepas balik lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Majlis Penyerahan Bendera sempena Kejohanan World Police dan Fire Games Winnipeg 2023 di Bukit Aman hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ayob Khan menambah, polis akan berurusan dengan pihak berkuasa UK sekiranya terdapat proses pendakwaan ke atas kumpulan rock itu di negara ini.
“Kalau kita lihat, kesalahan ini adalah kesalahan yang dilakukan di negara ini, jadi kita tidak boleh memohon notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) kecuali melibatkan kesalahan yang besar menyebabkan bunuh atau penculikan, kita akan berurusan dengan pihak UK,” katanya lagi. – Xklusif