Berita

‘Tak payah rasmi-rasmi’ – MOT henti majlis perasmian kempen mulai tahun ini

Anthony Loke, menegaskan keputusan itu dibuat bagi menjimatkan kos yang menelan antara RM100,000 ke RM200,000 bagi setiap majlis

PUTRAJAYA 12 Jan – Kementerian Pengangkutan tidak lagi menganjurkan majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya bagi setiap musim perayaan mulai tahun ini.

Menterinya, Anthony Loke, menegaskan keputusan itu dibuat bagi menjimatkan kos yang menelan antara RM100,000 ke RM200,000 bagi setiap majlis.

Sebaliknya, beliau berkata, perbelanjaan terbabit boleh disalurkan untuk menambah baik kempen keselamatan sedia ada yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Mulai tahun ini, tiada lagi majlis pelancaran kerana tanpa majlis pelancaran itu pun, operasi JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) tetap berjalan. Operasi bersepadu pun tetap diadakan dan undang-undang tetap dikuatkuasakan.

“Namun, jika ada syarikat swasta nak buat kempen, itu terpulang kepada mereka. Yang saya hentikan ialah bajet kementerian sebab kita akan guna untuk tujuan lebih baik.

“Mungkin berikan topi keledar percuma bernilai RM55 setiap satunya kerana kami dapati masih ada yang menggunakan topi keledar lusuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat 2024 Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.

Terdahulu, Loke dalam amanatnya memaklumkan Kementerian Pengangkutan memberi tumpuan terhadap empat fokus utama tahun ini.

Katanya, fokus pertama ialah memperkasa jaringan ketersambungan dan kebolehcapaian sistem pengangkutan awam dan logistik.

Jelasnya, ini sejajar dengan anjakan besar Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Fokus kedua ialah membudayakan aspek keselamatan sektor darat, udara dan maritim.

“Tahun lalu, hampir 7,000 terkorban dalam nahas jalan raya. Jadi, isu keselamatan pengguna ini menjadi keutamaan Kementerian Pengangkutan dan memastikan program yang bakal dilaksanakan kelak, perlu mencapai tujuannya.

“Fokus ketiga ialah mengoptimumkan budaya penyelenggaraan infrastruktur, perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan.

“Fokus terakhir ialah memacu intervensi dasar berdasarkan inovasi pendigitalan dan pengukuhan keupayaan penggunaan data,” katanya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button