Berita

Tak perlu bincang, Perdana Menteri masa hadapan tetap Melayu – Anwar

Sejak merdeka hingga sekarang, calon Perdana Menteri ialah Melayu. Selepas ini calon dari kerajaan pun Melayu, calon pembangkang juga Melayu

BANGI 15 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada keperluan untuk perlembagaan dipinda supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi Perdana Menteri.

Anwar berkata, calon Perdana Menteri sama ada dari kerajaan atau pembangkang pada masa hadapan adalah kekal daripada kaum Melayu.

“Setakat ini tiada keperluan (pindaan perlembagaan) permohonan serius untuk perbincangan (berkenaan).

“Sejak merdeka hingga sekarang, calon Perdana Menteri ialah Melayu. Selepas ini calon dari kerajaan pun Melayu, calon pembangkang juga Melayu.

“Jadi (kita) kena maju terus dan hak rakyat, semua warganegara kita harus pelihara. Jaga kepentingan semua rakyat, semua kaum dan semua wilayah,” katanya ditemui selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, di Bandar Baru Bangi, hari ini.

Ketua Pemuda BERSATU Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semalam mencadangkan supaya Anwar Ibrahim meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu boleh menjadi perdana menteri.

Ia susulan kenyataan ahli politik veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berhubung ‘Impian Malaysia’ yang diutarakannya kepada pelajar Malaysia di United Kingdom pada 29 November lalu dengan menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.

Bekas Pengerusi DAP itu antara lain mengatakan Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan ‘Impian Malaysia’.

Impian berkenaan, katanya, meraikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya, bukannya membawa satu impian untuk mana-mana satu etnik sahaja.

Dalam pada itu, Anwar yang berbaju Melayu berwarna hijau muda dan bersamping songket merah jambu tiba di masjid sekitar jam 1.15 tengah hari.

Sebelum menunaikan solat Jumaat, Anwar terlebih dahulu dijamu dengan pelbagai hidangan kampung termasuk kari kepala ikan di Restoran Mak Kimbong di Seksyen 4, di sini.

Turut serta bersamanya menjamu selera ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Prof Dr Zulkifli Hasan.

Penduduk sekitar turut menunggu Perdana Menteri sejak jam 11.30 pagi tadi. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button