Berita

Tak pernah ada dasar MRSM hanya untuk anak B40

Sebaliknya, MRSM juga dibuka untuk anak dalam kalangan M40 dan T20.

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Tidak pernah ada dasar menyatakan hanya pelajar miskin boleh memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sejak penubuhan institusi pendidikan itu, tetapi keutamaan tetap diberikan kepada anak daripada golongan berpendapatan rendah.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata dasar MARA menetapkan kuota 60 peratus pelajar MRSM adalah dalam kalangan B40, manakala selebihnya mereka yang layak iaitu lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) daripada kalangan M40 dan T20.

“MRSM daripada awal penubuhannya tidak pernah menutup peluang anak golongan VIP (kenamaan) yang layak untuk masuk ke maktab itu, bahkan anak Perdana Menteri pun pernah belajar di MRSM Pengkalan Chepa dan menjadi Presiden Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA) (merujuk kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir).

“MRSM tidak pernah lari daripada tujuan penubuhannya, iaitu melahirkan generasi pelajar yang holistik dalam kalangan Bumiputera yang cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan pada masa sama, punya keperibadian yang seimbang berteraskan nilai, adab serta akhlak Islam,” katanya melalui Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi berkata demikian susulan pandangan umum diterimanya berhubung kemasukan ke MRSM antaranya pelajar perlu semuanya dalam kalangan B40, institusi itu perlu kembali kepada tujuan asal membantu golongan miskin dan anggapan bahawa kemasukan anak daripada golongan berpendapatan tinggi menggunakan orang dalam.

Asyraf Wajdi berkata, kepelbagaian latar belakang pelajar di MRSM mampu memupuk nilai positif dalam pergaulan untuk saling menghormati dan membantu serta mengikis rasa rendah diri mahupun besar diri dalam kalangan pelajar.

Ia juga adalah persiapan untuk pelajar hidup dalam dunia realiti, yang hakikatnya terdiri daripada masyarakat pelbagai status ekonomi.

Beliau menjelaskan, ibu bapa daripada M40 dan T20 lazimnya banyak membantu Persatuan Muafakat (Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam pelbagai aktiviti dan pendanaan tambahan yang diperlukan bagi program pembangunan pelajar.

“Cuba bayangkan jika semuanya daripada B40, siapakah yang boleh membantu Persatuan Muafakat dan pelbagai aktiviti tambahan di MRSM?.

“M40 menurut tafsiran kerajaan adalah mereka yang berpendapatan isi rumah (suami isteri) antara RM5,000 dan RM10,000 dan tidak semestinya mereka yang berpendapatan RM5,000 dengan anak lebih tiga orang yang menetap di bandar besar itu semuanya senang.

“Justeru, tidak adil secara mutlak menafikan mereka. Kepelbagaian latar belakang keluarga MRSM inilah yang berjaya meningkatkan kecemerlangan MRSM selama ini dengan pelbagai aktiviti dijalankan dengan prinsip saling membantu dan melengkapi,” katanya. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button